Calonkan Muhyiddin bukti muafakat politik Melayu tercapai

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Persetujuan UMNO dan Pas mencalonkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan usaha permuafakatan politik Melayu tercapai sejak sekian lama.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, pencalonan itu juga membuktikan kepimpinan Muhyiddin diiktiraf semua pemimpin Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) sekali gus menjadi indikator bahawa Perdana Menteri itu sememangnya pemimpin ideal untuk memacu pentadbiran negara.

Menurutnya, keterbukaan UMNO dan Pas menerima Muhyiddin juga wajar dipuji kerana kesanggupan kedua-dua parti itu mengetepikan ego masing-masing demi kepentingan negara termasuk meninggalkan kisah perseteruan di antara mereka.

“Keputusan (Pas dan UMNO) itu memang sangat wajar, paling bernas dan rasional kerana menggambarkan satu senario muhibah semua parti dalam menentukan pemimpin paling ideal untuk mengemudi kerjasama politik antara mereka.

“Senario itu juga boleh dianggap proses transisi baharu untuk mencipta satu dimensi politik terkini tanah air dengan soal politik parti dominan sebagaimana disebut-sebut segelintir pemimpin UMNO tidak lagi perlu ditimbulkan.

“Secara peribadi, Muhyiddin dilihat paling layak mengemudi negara ketika ini kerana beliau berjaya memenangi hati rakyat sepanjang mengendalikan pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang menegaskan kedua-dua parti itu bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Md Shukri berkata, keputusan itu juga boleh dianggap satu kemenangan kepada majoriti rakyat yang mahukan kestabilan negara, selain dianggap sebagai salah satu detik bersejarah perpaduan masyarakat Melayu dan bumiputera.

Petanda

Beliau turut menyifatkan keputusan permuafakatan parti-parti dalam PN sebagai petanda awal PRU15 mengejut akan dilaksanakan pada bila-bila masa dengan pakatan itu perlu didaftarkan terlebih dahulu.“Soal sama ada isu pembahagian kerusi pilihan raya akan mencetuskan perbalahan dalam PN perlu diketepikan terlebih dahulu kerana ia bersifat teknikal dan boleh diselesaikan.

“Paling penting, sifat ego dan dominan dalam kalangan mereka perlu diketepikan kerana PN dipimpin Muhyiddin berupaya meraih majoriti kemenangan dua pertiga pada PRU15 jika semua parti bersatu hati,” katanya.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Teo Kok Seong berpendapat, keputusan pencalonan Muhyiddin oleh UMNO dan Pas adalah satu tindakan kompromi dengan melihat realiti politik semasa.

Menurutnya, kedua-dua parti itu menyedari Muhyiddin mendapat sokongan rakyat Malaysia susulan beliau dilihat betul-betul bekerja demi kebajikan rakyat dan langsung tidak bermain politik.

“Meskipun UMNO sebelum ini bertegas mahu lebih dominan daripada Muhyiddin dan Bersatu tetapi parti itu masih berdepan defisit kepercayaan rakyat dengan pemimpinnya masih ramai yang terlibat dengan kes mahkamah.

“Bagi saya, itu satu keputusan bijak dengan Muhyiddin tidak dapat dinafikan sebagai satu sosok pemimpin paling ideal mengetuai PN ketika ini,” katanya.

Teo Kok Seong
Teo Kok Seong

Kok Seong turut melihat keputusan pencalonan Muhyiddin akan membawa kepada penyelesaian tuntas terhadap isu pendaftaran PN yang sebelum ini diterima segelintir pemimpin UMNO secara skeptikal.

“Semua pihak perlu bertindak sebagai negarawan dalam PN dengan mereka perlu mengutamakan kestabilan negara berbanding kestabilan politik parti masing-masing.

“Saya juga berpandangan kesemua parti blok kerajaan lebih baik bertanding di bawah PN.

“Ia kerana pakatan itu akan memberi ruang lebih selesa kepada MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta pemimpin Sabah untuk mendekati pengundi sasaran mereka dengan lebih baik berbanding Muafakat Nasional,” katanya.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif yang juga Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman mempunyai pandangan berbeza.

Mohammad Redzuan Othman
Mohammad Redzuan Othman

Beliau menyifatkan keputusan pencalonan Muhyiddin oleh UMNO dan Pas sebagai ‘perkahwinan berkepentingan’.

Menurutnya, kedua-dua parti Melayu tersebut tidak mempunyai calon Perdana Menteri berkeupayaan, namun terpaksa menerima Muhyiddin secara paksa rela.

Jelasnya, tindakan itu bertujuan menghalang kemaraan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan itu.

“Sebenarnya, persetujuan mencalonkan Muhyiddin bukan menyelesaikan segala kekusutan dalam PN kerana banyak perkara tidak selesai terutama isu pembahagian kerusi pilihan raya yang pasti akan mencetuskan perbalahan antara mereka.

“Saya turut menjangkakan kerjasama PN ini hanya bersifat sementara bagi menghadapi PRU15.

“Dengan keadaan kesihatan Muhyiddin yang dikatakan tidak begitu baik, UMNO dan Pas merasakan masing-masing boleh mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Presiden Bersatu itu sekiranya beliau membuat keputusan meletakkan jawatan,” katanya.