Manchester United kena sambar segera Koulibaly

Koulibaly (kanan) disifatkan pakej lengkap untuk perkuatkan pertahanan Manchester United.
Koulibaly (kanan) disifatkan pakej lengkap untuk perkuatkan pertahanan Manchester United.
A
A
A

Legenda sensasi Manchester United, Dwight Yorke menyarankan The Red Devils segera merekrut Kalidou Koulibaly sambil menyifatkan pertahanan Napoli itu pakej lengkap.

Kapten Senegal itu disifatkan antara pemain pertahanan terbaik dunia yang dinilaikan £90 juta (RM481 juta) oleh gergasi Serie A berkenaan selepas menyertai kelab itu dari kelab Liga Belgium, Genk pada 2014.

The Red Devils sebelum ini dikhabarkan menghabiskan masa 18 bulan untuk memujuk pemain berusia 28 tahun itu ke Old Trafford bagi digandingkan dengan kapten Manchester United, Harry Maguire.

“Tanpa keraguan saya percaya Koulibaly sewajarnya berada radar pembelian The Red Devils kerana dia seorang pemain yang berwibawa.

“Sekiranya Manchester United berhasrat melakukan pembelian terbaik seperti dilakukan setiap musim sebelum ini, mengapa tidak pengurusan kelab mulakan dengan pembelian Koulibaly.

“Koulibaly cukup sesuai untuk digandingkan dengan Maguire bagi memperkuatkan bahagian pertahanan. Ia akan sama seperti mana Ole Gunnar Solskjaer mengandungkan Paul Pogba dengan Bruno Fernandes di bahagian tengah,” katanya yang optimis kelab lamanya akan kembali menyengat dipacu barisan pemain berkualiti.

Bekas pemain berusia 48 tahun itu ketika menyarung jersi Manchester United mendakap kemahsyurannya apabila mendakap tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara.

Jelas Yorke lagi:” Saingan Serie A secara jujur adalah antara paling kompetitif yang membentuk karakter dan mematangkan corak permainan seseorang pemain.

Artikel Berkaitan:

“Mengambil kira status Koulibaly dengan prestasi konsistennya pada saingan liga Itali sekaligus membuktikan kehadirannya di Itali memberi impak positif.

“Sekiranya saya Solskjaer atau berada di kedudukannya, saya tidak teragak-agak untuk memujuknya ke Old Trafford kerana saya yakin Koulibaly akan memberi kekuatan kepada kelab ini,” katanya.

Anak buah Solskjaer yang membelasah Brighton 3-0 di Stadium Amex akan meneruskan misi meraih kedudukan empat terbaik liga menentang Bournemouth.

Pada ketika ini Manchester United ketinggalan dua mata berbanding kelab di kedudukan keempat Chelsea yang tewas kepada West Ham United.