Pintu Etihad tertutup buat Sancho

Guardiola (kiri) bersama Sancho suatu ketika dahulu. Foto : gettyimages
Guardiola (kiri) bersama Sancho suatu ketika dahulu. Foto : gettyimages
A
A
A

Peluang pemain muda England, Jadon Sancho kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan makin tipis apabila pengendali Manchester City, Pep Guardiola menutup pintu rundingan bersama Borussia Dortmund.

Menurut Guardiola, tidak ada sebab The Citizens kembali menerima bekas bintang di akademi City itu setelah dia membuat keputusan berhijrah ke Signal Iduna Park.

Bagaimanapun, Guardiola berkata, Sancho kini agak terdesak untuk kembali ke Etihad setelah tiga tahun berkelana ke Jerman bagi beraksi dalam saingan Bundesliga.

"Tidak. Kami sudah menutup pintu untuknya. Dia yang memilih untuk pergi (ke Dortmund), kenapa pula dia hendak kembali ke sini?

"Sama seperti Leroy Sane atau diri saya sendiri apabila membuat keputusan untuk berhijrah dan ia akan berlaku. Jadi bila dia buat keputusan untuk berhijrah ke Dortmund, ia bukan bermaksud, dia akan kembali semula ke sini," katanya.

Guardiola memberitahu, Sancho tidak berpeluang untuk kembali ke City biarpun setelah penghijrahan Sane ke Bayern Munich dimuktamadkan kelak.

"Jika boleh, kami mahukan pemain yang mampu bertahan selama 10 tahun. Namun mereka manusia biasa dan bila sampai masanya, mereka juga perlu digantikan," jelasnya.

Artikel Berkaitan: