Luqman Hakim tiada dalam senarai kem latihan pusat

Luqman Hakim. Foto: FB FAM
Luqman Hakim. Foto: FB FAM
A
A
A

Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dan beberapa pemain utama tidak disenaraikan menyertai kem latihan pusat selama tiga minggu di Wisma FAM, bermula Isnin ini.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selain Luqman Hakim, tonggak utama seperti penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Ahmad Zikri Mohd Khalili, dijangka menyertai pasukan pada kem latihan pusat yang berikutnya.

Ketua jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Brad Maloney memanggil 35 pemain menyertai kem latihan yang bermula 6 hingga 26 Julai itu, sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan pada 14 hingga 31 Oktober depan.

“Seramai 14 pemain dipanggil adalah dari skuad 23 pemain ketika saingan kelayakan di Phnom Penh, tahun lalu manakala baki 21 pemain merupakan pemain yang pernah dipanggil pada kem latihan pusat pemilihan tahun lalu dan juga muka-muka baharu untuk dinilai oleh Maloney dan barisan kejurulatihannya,” menurut kenyataan itu.

Antara pemain yang dipanggil jurulatih dari Australia itu adalah Wan Ahmad Kuzri Wan Kamal (adik Wan Kuzain dari Sporting Kansas City, Amerika Syarikat) yang bermain di St Louis Football Academy dan Muhammad Adam Nadzmi Zamri dari BISP Cruzeiro Football Academy, Phuket.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014, Qatar, Tajikistan dan Yemen, akan membuka kempen menentang Tajikistan pada 16 Oktober diikuti Qatar (19 Oktober) dan aksi terakhir kumpulan berdepan Yemen (22 Oktober).

Ketiga-tiga perlawanan dijadual berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke saingan suku akhir bagi merebut empat slot secara automatik ke Piala Dunia Bawah 20 tahun 2021 di Indonesia, namun jika Indonesia mara ke separuh akhir, satu slot tambahan bakal direbut empat pasukan yang tewas di suku akhir menerusi perlawanan play-off.

Artikel Berkaitan:

Pada edisi 2018 di Indonesia, skuad negara di bawah bimbingan Bojan Hodak, yang diundi dalam Kumpulan D, gagal ke suku akhir selepas menduduki tangga tercorot kumpulan dengan keputusan tewas 2-1 kepada Arab Saudi, seri 2-2 dengan Tajikistan dan kalah 2-0 kepada China.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak Kejuaraan B-19 AFC dimulakan pada tahun 1959 (dikenali sebagai Kejuaraan Remaja AFC) selepas muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 1959, 1960 dan 1968 selain meraih tempat ketiga sebanyak dua kali pada 1964 dan 1965.

Pencapaian terakhir terbaik dilakukan pasukan negara ialah pada edisi 2004 apabila Malaysia selaku tuan rumah di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal, berjaya mara ke suku akhir sebelum tersingkir selepas kalah 0-3 kepada China.