Bersatu, Pas tidak akan bertanding PRN12 Sarawak

Tan Sri Dr James Masing
Tan Sri Dr James Masing
A
A
A

KUCHING - Seorang pemimpin Sarawak hari ini berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak akan bertanding di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) akan datang dan sebaliknya akan menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Masing berkata, jaminan itu diberikan sendiri oleh Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mesyuarat semua pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan sekutu GPS selama dua jam di Putrajaya semalam.

“Jaminan ini bukan sahaja memberi laluan jelas kepada GPS untuk menentang pembangkang tetapi juga petanda baik bahawa parti komponen PN menghormati komitmennya untuk membantu GPS pada PRN nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, GPS akan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan mengetuai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

GPS adalah gabungan empat parti berpangkalan di Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PRS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

“(Ketua Menteri Sarawak) Datuk Patinggi Abang Johari (Tun Openg) iaitu Pengerusi GPS menyatakan kedudukan GPS secara jelas dalam PN. Beliau memaklumkan pada mesyuarat itu bahawa PRN12 di Sarawak bakal berlangsung pada bila-bila masa. GPS sudah bersedia. Empat parti komponen (GPS) sedang mempersiapkan diri untuk menentang pembangkang (DAP, PKR, PSB dan lain-lain),” katanya.

Masing berkata, Muhyiddin dan pemimpin parti gabungan dalam PN+GPS yakin akan memenangi pertarungan PRU15 setelah isu-isu teknikal dalam kalangan gabungan PN akan dapat diselesaikan dan beliau percaya pelbagai parti komponen yang terlibat adalah gabungan politik yang sihat.

Selain Bersatu, Pas dan GPS, parti lain dalam gabungan tersebut ialah UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah. - Bernama

Artikel Berkaitan: