Banglo tiga tingkat markas judi online

Mohd Khaizam menunjukkan barang yang dirampas.
A
A

AMPANG JAYA - Berselindung di sebalik banglo tiga tingkat sejak dua bulan lalu, akhirnya 'kantoi' menjalankan menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Pembongkaran itu dibuat Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Selangor dan D7 Bukit Aman di Taman Melawati, di sini, tadi, hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, operasi kira-kira jam 1 petang ini menyerbu dua buah banglo tiga tingkat dan berjaya menahan seramai 23 warga China termasuk dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

"Dalam serbuan di banglo pertama, 13 orang telah ditahan. Manakala serbuan kedua pula seramai 10 orang.

"Serbuan ini membawa rampasan sebanyak 10 komputer riba, 10 buah komputer dan 85 unit telefon bimbit," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Antara warga China yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian online.
Antara warga China yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian online.

Mohd Khaizam berkata, siasatan awal mendapati kesemua tangkapan ini tinggal lebih masa di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, sindiket ini beroperasi di banglo terbabit dengan menjalankan kegiatan perjudian online dengan mempromosikannya melalui website dan media sosial untuk pelanggan dan pemain di negara China.

"Siasatan awal mendapati kesemua tangkapan ini memainkan peranan sebagai pekerja dengan upah RM3,000 sebulan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan dalang utama dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia