X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat timbang permohonan Kedah bina KXP

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mustapa sambil disaksikan Muhammad Sanusi di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan permohonan kerajaan Kedah supaya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) menerima manfaat dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau telah mendengar penerangan teliti daripada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan projek bernilai RM6.8 bilion itu.

"Saya hadir hari ini dalam konteks untuk mendengar daripada akar umbi apa kehendak rakyat dalam pembangunan negara. Saya difahamkan projek ini (KXP) menjadi keutamaan di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini semalam.

Menurutnya, kedua-dua pihak telah berbincang secara panjang lebar berkaitan projek berkenaan termasuk dari segi kos dan kaedah pembiayaan.

"Kos untuk pengambilan balik tanah ialah sebanyak RM2.5 bilion manakala untuk bina terminal dan kos kerja-kerja berkaitan termasuk bina landasan sebanyak RM2.5 bilion.

"Selain itu, satu lagi komponen penting adalah pembinaan jalan yang menghubungkan antara Kulim dan Sungai Petani berjumlah RM1.8 bilion," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, dari segi kaedah pembiayaan, kerajaan negeri masih belum membuat sebarang keputusan sama ada ia dibuat secara pinjaman atau penswastaan.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa cadangan seperti pembinaan jalan yang menghubungkan dua daerah itu dilaksanakan melalui penswastaan.

Ketika ditanya mengenai keupayaan kerajaan Persekutuan merealisasikan projek KXP berkenaan, Mustapa berkata, selain melihat keutamaan kerajaan negeri, kedudukan kewangan di peringkat Pusat juga perlu diambil kira.

"Saya dimaklumkan beberapa keputusan sudah dibuat tentang perkara ini.

"Difahamkan ia sudah dibentang dan dibincangkan dalam majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) tetapi kita belum buat keputusan muktamad. Itu sebab kita datang untuk dengar apakah keutamaan tertinggi di Kedah terlebih dahulu hari ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus