Korban keenam bot karam ditemukan

Anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kelantan melakukan selaman untuk mencari mangsa bot karam yang masih hilang di Muara Kuala Kemasin. - Foto Bernama
Anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kelantan melakukan selaman untuk mencari mangsa bot karam yang masih hilang di Muara Kuala Kemasin. - Foto Bernama
A
A
A

BACHOK - [DIKEMAS KINI] Mayat mangsa keenam tragedi bot karam di perairan Kemasin di sini Isnin lalu ditemukan petang semalam selepas lebih 72 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Mayat Harun Daud, 57, tiba di Jeti Projek Pemasaran Ikan Kuala Kemasin di sini pada jam 7 malam dan proses pengecaman dilakukan abangnya, Supri Daud, 60, serta anak lelakinya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada nelayan pada jam 4.19 petang dan bergegas ke lokasi penemuan iaitu 21 batu nautika dari jeti tersebut.

"Pada jam 4.50 petang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang diketuai Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob tiba di lokasi penemuan dan membawa mangsa ke darat.

"Semasa penemuan tersebut, kita juga turut menjumpai telefon bimbit dan beg duit mangsa yang tersimpan kad pengenalan diri dan mengesahkan dia adalah Harun Daud. Anak mangsa juga cam seluar dan baju yang dipakai ayahnya memandangkan dia yang hantar mangsa ke jeti sebelum kejadian," katanya kepada pemberita di Jeti Projek Pemasaran Ikan Kuala Kemasin di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk tindakan lanjut.

Samsulmuddin berkata, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan semalam dan disambung pada jam 6 pagi hari ini untuk mencari dua lagi mangsa iaitu Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40, yang masih belum ditemui.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut bot karam dibadai ribut

Artikel Berkaitan:

Korban kelima tragedi bot karam ditemukan

Usaha mencari, menyelamat 4 lagi pemancing hilang diteruskan

Bot karam: Lapan mangsa dirawat di HRPZ II dibenar pulang