Wabak Covid-19 wujudkan pelbagai terjemahan, padanan istilah

Istilah baharu dikeluarkan DBP dalam tempoh penularan wabak Covid-19.
Istilah baharu dikeluarkan DBP dalam tempoh penularan wabak Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah membuka satu ruang kepelbagaian dari sudut penterjemahan dan padanan istilah bersesuaian bahasa Melayu dalam bidang kesihatan awam untuk dijayakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan berkata, memandangkan bahasa berkembang mengikut keadaan semasa masyarakat, kebudayaan serta negara, DBP perlu cekap dan cepat dalam memberikan terjemahan dan padanan istilah bahasa Melayu.

“Jangan semua disadur terus daripada bahasa asal. Kita tak dapat melarikan diri daripada beberapa istilah yang asing tetapi diolah kepada bahasa Melayu, seperti ‘pelitup muka’ kita dah mulakan inisiatif kita sendiri dan diterima (orang ramai).

“DBP dan pakar media serta kesihatan diberi hak sebenarnya untuk beri istilah. Semua sektor, terutamanya yang berkaitan sesuatu bidang itu, digalakkan untuk mencadangkan istilah dan DBP akan bantu menyemaknya dari sudut bahasa, tatabahasa, ejaan dan sebutan,” katanya selepas menyampaikan taklimat ‘Kemahiran Bahasa Untuk Komunikasi Berkesan’ di Wisma Bernama hari ini.

Awang Sariyan
Awang Sariyan

Awang Sariyan berkata, pegawai DBP juga perlu bersedia dengan budaya kerja baharu dalam memastikan penterjemahan, padanan istilah dan pengemaskinian bahasa dilakukan dengan pantas.

“Saya sendiri akan minta DBP bergerak pantas supaya kita jangan terlewat. Konsep (bahasa) sudah ada tapi istilahnya tidak ada. Budaya kerja kena tangkas dan kita perlu konsep kesegeraan itu.

“Saya menggalakkan dan meminta pegawai DBP bersedia dengan satu budaya baharu, iaitu bekerja tanpa mengira waktu. Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) untuk kemas kini, perlu cepat dengan keperluan dan permintaan masyarakat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: