Program KIDA iktiraf peranan wanita

Muhammad Sanusi menyerahkan kad KIDA sambil beramah mesra dengan penerima.
Muhammad Sanusi menyerahkan kad KIDA sambil beramah mesra dengan penerima.
A
A
A

BANDAR BAHARU - Seramai 4,547 wanita termasuk ibu tunggal dan suri rumah tanpa pendapatan tetap bakal menerima bantuan fasa dua program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) bagi mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun negara masih berdepan impak wabak Covid-19, kerajaan negeri tetap mengiktiraf peranan wanita sebagai tonggak keluarga dan menghulurkan bantuan melalui program KIDA.

Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan fasa satu, seramai 4,281 penerima kalangan berpendapatan rendah (miskin dan miskin tegar) telah menikmati bantuan pembelian barangan keperluan asas bernilai RM250 sebulan selain rawatan kesihatan bernilai RM500 setahun.

“KIDA diilhamkan untuk menghargai pengorbanan besar kaum ibu dan mengiktiraf peranan mereka dalam keluarga. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan sasar, terutama ketika pasca Covid-19.

"Kerajaan negeri berharap penerima terpilih memanfaatkan bantuan ini sebaik-baiknya,” katanya selepas pelancaran fasa dua program KIDA dan penyerahan kad KIDA peringkat daerah Bandar Baharu di Dewan Sri Serdang di sini semalam.

Muhammad Sanusi turut menyerahkan kad KIDA kepada 45 penerima di daerah Bandar Baharu yang mendapat manfaat program ini.

Fasa satu program KIDA dilaksanakan pada Mei 2019 oleh kerajaan Kedah bersama kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) manakala fasa dua selama enam bulan, bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, berdasarkan data e-Kasih, seramai 1,899 penerima KIDA fasa satu telah dikeluarkan daripada program KIDA setelah penerima berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah.

Artikel Berkaitan:

“Peserta program KIDA dan ahli keluarga yang layak diberi keutamaan menyertai program empowerNCER: Latihan Kemahiran & Keusahawanan.

"Sembilan penerima KIDA atau tanggungan mereka telah memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan, dan berjaya capai purata pendapatan tambahan bulanan berkali ganda berbanding purata pendapatan bulanan sebelum sertai program,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan sebanyak RM12.15 juta oleh penerima KIDA setakat Mac turut memberi kesan limpahan menjana ekonomi setempat.

“Untuk memastikan pembasmian kemiskinan ditangani secara holistik dan inklusif, ada antara anak keluarga peserta KIDA yang menduduki peperiksaan SPM diberi program tuisyen khas dan program pembangunan diri supaya keluarga itu dapat keluar dari kemelut kemiskinan melalui pendidikan,” katanya.

Issace berkata, dalam menghadapi landskap ekonomi dunia pasca Covid-19, NCIA mengambil pendekatan serampang tiga mata, antaranya strategi mengutamakan pembangunan modal insan dan komuniti bagi memulihkan kembali ekonomi wilayah ini.

“Melalui program KIDA, kita yakin lebih ramai kaum hawa dapat diperkasa dalam menangani kenaikan kos sara hidup serta menampung perbelanjaan keluarga, seterusnya meningkatkan status sosioekonomi wanita,” katanya.