X

Kindly register in order to view this article
!

Jalan Tampin- Kuala Pilah ditutup tengah malam ini

Lokasi jambatan di FT009 Seksyen 23.6 Jalan Tampin–Kuala Pilah yang terpaksa ditutup bermula tengah malam ini.
A
A

KUALA PILAH - Jalan Tampin-Kuala Pilah (Laluan Persekutuan FT009 Seksyen 23.6) akan ditutup kepada semua jenis kenderaan bermula 12 tengah malam ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah, Ir Mohd Faizul Mohd Ali berkata, penutupan jalan itu disebabkan struktur jambatan di Seksyen 23.6 di kawasan Johol didapati tidak selamat dan boleh membahayakan keselamatan kepada pengguna jalan raya.

“Jambatan itu merupakan jambatan lama yang dibina sekitar tahun 1950an yang terletak di kawasan agak rendah dan sering berlaku hakisan akibat hujan lebat, sekali gus mengakibatkan strukturnya tidak lagi selamat.

“Kita mengambil keputusan untuk menutup laluan tersebut buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cadangan laluan alternatif.
Cadangan laluan alternatif.

Ir Mohd Faizul sehubungan itu berkata, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan destinasi masing-masing.

“Bagi laluan alternatif pertama, pengguna dari Tampin ke Kuala Pilah boleh melalui Laluan N14 (persimpangan Inas) – Laluan N123 (Inas – Senaling) – Laluan N24 dan masuk semula ke FT009 (Persimpangan Pekan Senaling).

“Selain itu, laluan alternatif kedua, pengguna dari Kuala Pilah ke Tampin akan melalui laluan N22 (Senaling – Kepis) – laluan N17 (Bahau – Dangi) dan masuk semula ke persimpangan FT009, Johol,” katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja awal penutupan akan dilaksanakan jam 11 malam ini dan penutupan jalan akan bermula jam 12 tengah malam ini.

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan serta papan tanda disediakan JKR bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Cadangan laluan alternatif.
Cadangan laluan alternatif.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus