Merana akibat suka-suka cuba pil kuda

x-default
x-default
A
A
A

RANTAU PANJANG - Tindakan sekadar suka-suka mencuba mengambil pil kuda untuk menghilang bosan semasa masih bersekolah membawa padah kepada seorang remaja apabila dia akhirnya ketagih bahan terlarang tersebut.

Remaja berusia 19 tahun itu mendedahkan, dia mula mengambil pil kuda sejak bersekolah di Tingkatan Empat.

"Saya sudah tiga kali dicekup anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan kerana ketagihan pil kuda kira-kira tahun 2017.

"Pada peringkat awal saya ambil sebiji pil kuda untuk tempoh sebulan selepas terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan yang terjebak dengan dadah itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika berada dalam tahanan di lokap AADK Pasir Mas dalam sesi yang turut dihadiri Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad.

Menurutnya, akibat ketagih pil kuda, dia mengambil sebiji hingga dua biji dadah itu dalam tempoh seminggu berbanding sebiji sebulan sebelum ini.

"Walaupun mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit, namun ketagihan terhadap pil kuda masih belum reda.

"Saya memperoleh bekalan itu daripada rakan sekampung dengan harga RM10 sebiji. Ibu bapa saya tahu saya ambil pil kuda sejak sekolah lagi," katanya yang berasal dari Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia pernah tidak tidur selama empat hari kesan pengambilan pil kuda membuatkannya bertenaga untuk melakukan kerja-kerja sebagai mekanik.

"Selepas kehabisan tenaga kesan daripada pengambilan pil kuda itu ia boleh menyebabkan badan menjadi lemah dan kebanyakan masa dihabiskan dengan tidur.

"Saya kini menyesal apabila ketagihan terhadap pil kuda yang bermula secara suka-suka bertukar menjadi serius dan sukar untuk dikikis," katanya.

Remaja itu turut menasihatkan rakan-rakan seusianya di luar sana tidak terpengaruh dengan pil kuda kerana ia boleh merosakkan masa depan.

"Saya menyesal dan bersalah terhadap kedua ibu bapa, namun disebabkan ketagih semua itu dibiarkan.

"Bukan saya tidak cuba untuk berhenti daripada mengambilnya, tetapi rasa 'rindu' terhadap najis dadah itu sentiasa datang sehingga tidak mampu menolaknya," katanya.