X

Kindly register in order to view this article
!

Kegusaran awam faktor cadangan pelaksanaan POCA

Azisman Alias
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan mengambil kira faktor kegusaran awam terhadap samseng jalanan dalam menimbangkan cadangan menggunakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap penganjur lumba awam.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, antara kegusaran awam terhadap aktiviti lumba haram yang diambil kira ialah gangguan dan bahaya aktiviti itu terhadap pengguna jalan raya lain.

"Sekarang kita masih di peringkat idea awal.. kita akan teliti dulu kesesuaian tetapi perlu melihat jika kegusaran awam terhadap samseng jalanan ini sama dengan kegusaran jenayah bila POCA diperkenalkan pada tahun 1959," katanya kepada Bernama di sini hari.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang mempunyai pengalaman dalam perlaksanaan POCA.

"JSPT akan mengetuai proses penelitian cadangan ini termasuk belajar dari JSJ yang memang berpengalaman dalam menyediakan profil dan kes fail untuk POCA," katanya.

Beliau berkata, oleh kerana perlaksanaan POCA melibatkan implikasi perundangan, maka pihaknya memerlukan masa dalam meneliti hal-hal teknikal berhubung perkara berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN - Cadang guna Akta POCA terhadap penganjur lumba haram

Semalam, Azisman dilaporkan berkata, JSPT bercadang menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap penganjur lumba haram ekoran kegiatan berkenaan yang semakin berleluasa dan di bawah akta itu, penganjur perlumbaan haram boleh dikenakan hukuman buang daerah.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, tindakan POCA terhadap penganjur lumba haram merupakan langkah terbaik kerana hukuman biasa seperti denda mampu dibayar oleh mereka yang mengaut keuntungan ribuan ringgit hasil daripada kegiatan haram itu.

Katanya, penggunaan akta berkenaan diyakini dapat mengekang aktiviti haram itu secara lebih menyeluruh selain memastikan pihak berkaitan berfikir dua kali sebelum menganjurkan sebarang aktiviti lumba haram.

"Tindakan POCA yang boleh mengakibatkan seseorang itu dibuang daerah juga akan beri pengajaran keras kepada mereka yang terbabit selain menjadi contoh pencegahan kepada aktiviti haram yang lain," katanya ketika dihubungi. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf