Irmohizam dilantik Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasific

Irmohizam Ibrahim
Irmohizam Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejarah tercipta apabila buat pertama kali rakyat Malaysia dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasific (Persidangan dan Pameran).

Dalam satu kenyataan, Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) hari ini menamakan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim sebagai pengerusi yang baharu.

Menurut kenyataan itu, WTCA merupakan sebuah persatuan perdagangan antarabangsa terkemuka yang dianggotai 322 pusat dagangan seluruh dunia.

"Sebagai pengerusi, beliau bukan sahaja memainkan peranan mempengerusikan dan menetapkan agenda mesyuarat untuk semua pusat dagangan dunia seluruh Asia Pasifik tetapi juga berperanan penting dalam menentukan hala tuju dan memimpin perbincangan.

"Ia juga membabitkan projek yang relevan dengan Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik dan menggalakkan penyertaan pusat dagangan dunia lain ke dalam persatuan.

"Terkini, Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik sedang bekerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA), Scott Ferguson dalam program 'Access Asia' untuk mempromosikan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan perniagaan di seluruh rantau Asia Pasifik," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Irmohizam berkata, beliau berbesar hati dengan perlantikan itu dan berharap dapat menyumbang kepada idea baharu dalam meningkatkan daya maju industri, seterusnya memacu perkembangan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui kemasukan semula persidangan serta pameran antarabangsa ke Malaysia.

"Saya mengharapkan kerjasama padu daripada seluruh anggota persatuan supaya dapat meneruskan keterbukaan serta bersikap inklusif dengan semua ahli untuk menyumbang ke arah tatakelola persatuan yang lebih baik dan ingin menjadikan Malaysia sebagai hub lokasi persidangan dan pameran dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, jawatan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik adalah untuk tempoh selama satu tahun dengan kemungkinan pelantikan semula untuk menjalani penggal tambahan seterusnya.

Selain menjalankan inisiatif yang ditetapkan WTCA, Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik juga akan bekerjasama dengan anggota majlis lain yang wujud di dunia termasuk APAC, EU, ASEAN untuk menentukan projek tambahan yang bersesuaian.

Terdapat sebanyak 93 pusat dagangan dunia di Asia Pasifik berdaftar di bawah WTCA; antaranya Sydney, Beijing, Taipei, Metro Manila dan Tokyo.