Tikam tangan, tumbuk anak, kontraktor didenda RM5,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kontraktor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu menikam pergelangan tangan dan menumbuk muka dua anaknya, minggu lepas.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu ke atas A. Johnson, 50, selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Bagi kesalahan menikam pergelangan tangan, tertuduh didenda RM4,000 atau penjara empat bulan dan bagi pertuduhan menumbuk lelaki itu didenda RM1,000 atau penjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, Johnson didakwa dengan sengaja menikam pergelangan tangan anak lelakinya, Winson Raj, 24, menggunakan alat pemateri timah iaitu senjata yang boleh mendatangkan kematian di sebuah rumah di Sri Rampai di sini pada 8.45 malam, 27 Jun lepas.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Dia juga dituduh dengan sengaja menumbuk muka anak perempuannya, Jerine, 28, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan ketika kejadian dia mabuk. - Bernama

Artikel Berkaitan: