X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Hanya 85 pesakit masih dirawat

Selepas satu kes direkodkan semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima laporan tiga kes baharu positif Covid-19 hari ini. Foto: 123RF
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Usaha kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara sejak Januari lalu membuahkan hasil apabila hanya 85 pesakit dirawat di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah itu, hanya dua pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital.

"Kedua-dua pesakit ini memerlukan bantuan pernafasan.

"Selain itu, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan selama 19 hari berturut-turut sejak 14 Jun lalu.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 kekal 121 kes bersamaan 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Menurutnya, hanya tiga kes baharu direkodkan KKM hari ini membabitkan satu kes import dan dua kes penularan tempatan.

"Bagaimanapun kedua-dua kes penularan tempatan itu melibatkan warga asing di negara ini.

"Satu kes dikesan dalam Kluster Bukit Bintang dan satu kes lagi merupakan saringan sebelum dimasukkan ke lokap di Kota Kinabalu, Sabah.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah 8,643 kes," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 62 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,437 kes bersamaan 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Bukit Bintang, Dr Noor Hisham berkata, 11 kes positif Covid-19 dikesan KKM melibatkan 10 warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan.

"Setakat ini, 304 orang telah disaring di mana 204 orang adalah bukan warganegara dan 100 adalah warga tempatan," katanya.

Menurutnya, kes baharu yang dikesan hari ini adalah daripada ujian ulangan dalam tempoh kuarantin.

"Mereka masih berada di pusat kuarantin dan kes positif dihantar ke hospital.

"Justeru, kluster ini tidak membawa risiko kepada masyarakat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus