X

Kindly register in order to view this article
!

Kejutan 'cinta pertama' ayah

Yahaya (kiri) dan isterinya, Mahani Sailan, 63, bersama motosikal Yamaha YB100 berusia 46 tahun.
A
A

KUALA KETIL - Lapan beradik di sini sepakat membuat kejutan sempena ulang tahun kelahiran ke-65 bapanya pada 28 Jun lalu dengan mengembalikan semula 'cinta pertama' lelaki itu iaitu sebuah motosikal lama Yamaha YB100.

Anak kedua daripada lapan beradik, Mohd Fazly Hafiz, 37, selaku ketua 'projek' berkata, motosikal Yamaha YB100 itu milik bapanya yang dibeli sekitar tahun 1974.

Bagaimanapun, katanya, motosikal itu telah lama terbiar sejak 25 tahun kerana rosak membuatkan mereka mengambil keputusan membaiki semula motosikal untuk kegunaan harian.

"Walaupun motosikal ini sudah rosak dan ramai menawarkan untuk membeli, ayah tetap tidak mahu menjual kerana ia ada nilai sentimental. Motosikal itu adalah motosikal pertama ayah, ibarat 'cinta pertama'.

"Dulu ayah beli motosikal ini dengan harga RM1,400 dengan duit pendahuluan RM400 dan bayaran bulanan RM50.

"Bila ayah tiada masa untuk baiki kerana menumpukan pada keluarga, kami mengambil inisiatif membaiki semula motosikal tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Fazly (dua dari kiri) bersama tujuh adik-beradiknya iaitu Noryani Lydia (kiri), Mohd Faizal Hafiz (tiga dari kiri), Mohd Faridzul Hafiz (empat dari kiri), Noryani Nadia (empat dari kanan), Mohd Farizuan Hafiz (tiga dari kanan), Noryani Natasha (dua dari kanan) dan Mohd Fakhrul Hafiz.
Mohd Fazly (dua dari kiri) bersama tujuh adik-beradiknya iaitu Noryani Lydia (kiri), Mohd Faizal Hafiz (tiga dari kiri), Mohd Faridzul Hafiz (empat dari kiri), Noryani Nadia (empat dari kanan), Mohd Farizuan Hafiz (tiga dari kanan), Noryani Natasha (dua dari kanan) dan Mohd Fakhrul Hafiz.

Beliau yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Kuala Perlis berkata, kos keseluruhan membaiki motosikal terbabit ialah RM4,571.

"Memandangkan barang alat gantian agak sukar diperoleh, kerja-kerja pembaikan di bengkel mengambil masa enam bulan dari Disember hingga 27 Jun lalu untuk disiapkan.

"Wajah baharu motosikal kini berwarna kuning berbanding dahulu berwarna biru.

"Alhamdulillah setelah enam bulan, akhirnya tercapai hasrat kami adik-beradik untuk membuat kejutan buat ayah tersayang di majlis ulang tahun kelahirannya," katanya.

Yahaya tersenyum sebaik melihat motosikal Yamaha YB100 kesayangannya telah dibaiki dan berwajah baru setelah 25 tahun rosak.
Yahaya tersenyum sebaik melihat motosikal Yamaha YB100 kesayangannya telah dibaiki dan berwajah baru setelah 25 tahun rosak.

Mohd Fazly berkata, mereka lapan beradik berasa puas melihat senyuman terukir di wajah bapanya sebaik menerima kembali 'cinta hatinya'.

"Usaha ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan susah payah ayah membesarkan kami, tidak lupa juga pengorbanan ibu.

"Kami mendoakan agar ayah terus diberikan kesihatan yang baik dan diberkati ALLAH SWT," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!