Pahang benarkan wanita solat berjemaah di masjid, surau

Kaum wanita sudah dibenarkan menunaikan solat fardu berjemaah di masjid dan surau di Pahang mulai 1 Julai lalu.
Kaum wanita sudah dibenarkan menunaikan solat fardu berjemaah di masjid dan surau di Pahang mulai 1 Julai lalu.
A
A
A

KUANTAN - Pahang memberi kebenaran kepada kaum wanita beragama Islam untuk menunaikan solat fardu berjemaah di masjid dan surau di negeri ini mulai 1 Julai lalu.

Bilangan jemaah tidak dihadkan sebaliknya bergantung kepada kapasiti yang mampu ditampung masjid dan surau pada satu-satu masa.

Keputusan itu dibuat menerusi resolusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 11 Jun lalu dan diperkenan Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Timbalan Yang Dipertua Muip, Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata, melalui resolusi tersebut, pelaksanaan solat Jumaat juga boleh dilakukan dengan kehadiran 40 jemaah atau lebih bergantung kepada kapasiti masjid.

Menurutnya, bagi masjid yang ruangnya terhad disebabkan langkah penjarakan sosial, mereka dibenarkan menggunakan ruang legar, koridor atau dataran dengan menyediakan khemah bagi membolehkan seramai mungkin jemaah menunaikan solat.

"Kemudahan fasiliti masjid yang dihadkan sebelum ini seperti pendingin hawa dan kipas boleh digunakan mengikut garis panduan yang ditetapkan untuk kemudahan dan keselesaan jemaah," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Tengku Amir Nasser Ibrahim berkata, semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan boleh dilaksanakan di masjid dan surau kecuali aktiviti yang dilarang seperti kenduri dan gotong-royong.

Katanya, aktiviti kuliah Subuh dan Maghrib juga dibenarkan namun masa pengajian dihadkan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pihak masjid dan surau hendaklah menyediakan ruang khas untuk musafir yang singgah solat selain kemudahan tandas dan tempat wuduk.

"Hasil mesyuarat itu juga, majlis akad nikah boleh dilakukan di masjid, surau, rumah atau mana-mana premis dengan mengikut garis panduan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha nanti juga dibenarkan di masjid, surau dan rumah sembelihan di bawah Jabatan Veterinar atau swasta berlesen yang mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa agama negeri.

"Setakat ini, kanak-kanak di bawah usia 12 tahun masih tidak dibenarkan masuk ke masjid atau surau manakala bagi yang berusia 12 tahun ke atas mestilah sihat dan tiada gejala jangkitan koronavirus (Covid-19)," katanya.