Isyarat KBS sentiasa cakna industri sukan

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memuji usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang telah bersedia untuk membawa cadangan membenarkan latihan penuh secara berkontak ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, cadangan itu adalah satu langkah tepat untuk mengembalikan kembali ekonomi dan keharmonian sukan negara yang dilihat berdepan krisis selepas negara dilanda wabak Covid-19 sejak awal Mac lalu.

Jelas lagi Ab Ghani, beliau optimis cadangan yang akan dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican adalah relevan selaras penurunan statistik pesakit Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Justeru, Ab Ghani percaya cadangan yang dibawa oleh pihak KBS ini ke dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pada minggu depan menjadi satu isyarat baik di mana kementerian sukan negara sentiasa mengambil cakna terhadap situasi yang dialami oleh industri sukan tanah air.

“MFL percaya cadangan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican adalah satu langkah yang tepat dan mengikuti kesesuaian serta perkembangan semasa dalam negara.

ARTIKEL BERKAITAN - Saingan Liga-M dijangka bersambung lebih awal

“Bagi pihak MFL, cadangan kebenaran untuk latihan secara kontak penuh ini akan memperlihatkan juga harapan dan kemungkinan untuk MFL dan kejohanan-kejohanan sukan yang lain dapat dimulakan dalam masa yang terdekat.

“Biarpun ia masih di peringkat cadangan tetapi usaha KBS harus diberikan pujian dalam usaha membangkitkan kembali semangat sukan yang semakin pudar dalam negara ini disebabkan wabak virus Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“MFL optimis bahawa bukan sahaja cadangan tetapi KBS juga ada mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri sukan dari semasa ke semasa untuk berkongsi pandangan pembangunan sukan di Malaysia selain mengadakan perbincangan cadangan Operasi Standard Prosedur (SOP) yang bersesuaian ke arah pembukaan sektor sukan dan rekreasi secara berperingkat,” kata Ab Ghani.

Selain daripada membawa cadangan kebenaran latihan kontak penuh, KBS akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha padang dan gelanggang komersial serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal dalam masa yang terdekat.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan setiap pasukan harus mematuhi SOP yang telah ditetapkan iaitu perlu mematuhi penjarakkan sosial di mana sekurang-kurangnya 3 hingga 5 meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak bermula 15 Jun lalu.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani memberitahu MFL turut memuji usaha KBS yang telah membenarkan latihan pasukan-pasukan dibuat di padang terbuka.

“Dengan SOP latihan Fasa 1 iaitu tiada kontak dikekalkan, ia telah memudahkan pasukan-pasukan untuk mendapatkan padang latihan berbanding sebelum ini SOP hanya dibenarkan di stadium atau padang secara tertutup,” katanya.

Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama mendapat kebenaran menjalani latihan oleh MFL selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan kebenaran kepada semua pasukan untuk berlatih di bawah SOP yang telah ditetapkan.

Empat kriteria utama itu adalah semua pasukan ialah melakukan ujian calitan atau ‘swab test’, melantik pegawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftarkan melalui pautan www.miti.gov.my selain venue juga perlu melakukan proses nyahkuman atau sanitasi bagaimanapun semua pihak yang terlibat harus berhati-hati serta akur setiap SOP yang telah ditetapkan.

Ia kerana MFL berharap setiap pasukan dapat menjaga etika dan berdisiplin biarpun pihak kerajaan telah memberikan kebenaran tertentu selain usaha untuk terus mencegah penularan wabak Covid-19.