Lelaki edar 569.5kg syabu didakwa

Tertuduh (tengah) dibawa anggota polis ke kamar perbicaraan di Mahkamah Majistret Taiping, petang tadi.
Tertuduh (tengah) dibawa anggota polis ke kamar perbicaraan di Mahkamah Majistret Taiping, petang tadi.
A
A
A

TAIPING - Bahana mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 569.5 kilogram pada 12 Januari lalu, seorang peniaga besi buruk didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan itu.

Tertuduh, K Thinagaran, 38, bersikap tenang dan tidak membuat sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat parkir di Kilometer 213 Hentian Rehat dan Rawat (R&R) arah utara di sini.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama, yang boleh dihukum gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan tertuduh tidak boleh diikat jamin kerana kes itu dibacarakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula pada 1 April bagi mendapatkan laporan kimia serta rakaman percakapan tertuduh bagi kegunaan peguam.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz Abd Razak manakala tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

Pada 14 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan polis mematahkan cubaan menyeludup syabu bernilai RM28.47 juta yang diangkut menggunakan sebuah lori kontena di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Lori kontena yang dipercayai dari Lembah Klang itu ditahan semasa berhenti di R&R berkenaan oleh anggota polis.

Serbuan itu turut dibantu peronda lebuh raya Expressway Mobile Patrol Vehicle (EMPV) selepas didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan.