Buka semula IPT dalam masa terdekat langkah tergesa-gesa: Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan pembukaan semula institusi pengajian tinggi (IPT) dalam masa terdekat disifatkan sebagai tergesa-gesa dan menyukarkan pelajar.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu bercanggah dengan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 27 Mei lalu yang memaklumkan pengajian di universiti awam akan dilaksanakan melalui dalam talian sehingga 31 Disember 2020.

Menurutnya, keputusan KPT menyebabkan pelajar dan ibu bapa diberi tempoh singkat untuk melengkapkan persediaan kembali ke IPT.

"Saya juga telah menerima banyak aduan dan keluhan daripada keluarga pelajar bahawa keputusan ini akan menyukarkan mereka.

"Pelajar bukan sahaja telah mengosongkan asrama tetapi ramai yang menamatkan kontrak rumah sewa selain menanggung tiket penerbangan yang mahal dan membebankan terutamanya dari Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Semalam, media melaporkan kerajaan sudah meluluskan prosedur operasi standard (SOP) digubal KPT bagi pembukaan semula IPT.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KPT membentangkan SOP berkenaan pada mesyuarat khas menteri semalam untuk mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, mesyuarat itu turut bersetuju bahawa Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad akan membuat pengumuman berkaitan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq berkata, keluarga pelajar juga perlu menanggung beban kewangan ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19.

"Saya percaya setiap satu keputusan harus dibuat pertimbangan wajar terhadap pihak pelajar, pensyarah dan pentadbiran universiti.

"Benar, universiti harus dibuka semula namun keputusan tergesa-gesa dalam tempoh singkat akan menyukarkan semua pihak terlibat," katanya.

Syed Saddiq turut berharap KPT dapat memberi maklumat lebih jelas untuk meredakan persoalan berbangkit mengenai perkara itu.