Beri latihan buat bom, lelaki Indonesia dipenjara 20 tahun

Tertuduh, Muhammad Amru Lubis.
Tertuduh, Muhammad Amru Lubis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kilang warga Indonesia dihukum penjara 20 tahun dan denda RM5,000 atas dua pertuduhan melibatkan kumpulan pengganas Daesh.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Amru Lubis, 49, yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daesh dalam telefon bimbitnya serta bersetuju untuk memberi latihan menyediakan bom dalam kejadian Mei tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang memasuki negara ini tanpa pasport didapati bersetuju untuk memberi latihan dalam penyediaan bahan letupan kepada ahli kumpulan WhatsApp yang dinamakan Sehati Sejiwa.

Tindakan itu dilakukan dalam persediaan untuk melakukan perbuatan pengganas.

Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130F(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut peruntukan yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan akta yang sama dan boleh dihukum mengikut peruntukan sama kerana memiliki item berkaitan kumpulan Daesh dalam telefon bimbitnya.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda serta boleh dilucut hak terhadap mana-mana item tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Subang Mas, Subang Jaya pada jam 6.12 petang, 7 Mei 2019.

Mengikut fakta kes, lelaki itu ditahan oleh sepasukan polis dari bahagian Counter Terrorism (E8) dan telefon bimbitnya dirampas.

Polis turut mendapati terdapat perbualan mengenai isu kumpulan pengganas Daesh dan perbualan mengenai pembuatan bom dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Terdapat juga perancangan untuk menyerang Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon kepada mahkamah agar tertuduh dijatuhi hukuman penjara yang panjang kerana kesalahan yang dilakukan sangat serius.

Bagaimanapun, Muhammad Amru yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya dapat dikurangkan kerana tertuduh menyesal atas perbuatan yang dilakukan.

“Saya tidak akan mengulangi kesalahan sama, malah perbuatan saya tidak menyebabkan korban kepada mana-mana pihak. Saya tak mahu terlibat lagi, mahu jadi orang baik dan pulang ke pangkuan isteri serta tiga anak di Indonesia,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamed Zaini memerintahkan tertuduh dihukum penjara 20 tahun dan denda RM5,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Sementara pertuduhan kedua, hukuman dua tahun penjara dan telefon bimbit dilucut hakkan.

Hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak daripada tarikh ditangkap.