X

Kindly register in order to view this article
!

Bukannya masalah tidak turunkan Ndombele

Ndombele - Foto : Getty images
A
A

Pengendali Tottenham Hotspurs, Jose Mourinho menegaskan dia tidak memiliki sebarang masalah dengan bintang Perancis, Tanguy Ndombele, apabila dilihat tidak menurunkan pemain berkenaan sejak saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), bersambung semula baru-baru ini.

Mourinho berkata, perkara berkenaan tidak sewajarnya diperbesarkan kerana walaupun Ndombele tidak diturunkan dan berada di bangku simpanan, dia masih berada dalam kesebelasan pasukan sebagai pemain gantian.

Menurut Mourinho, ia adalah perkara normal dalam bola sepak dan malah ramai pemain handalan dunia juga dilihat berada di bangku simpanan dan jarang diturunkan oleh pasukan masing-masing.

"Sebenarnya ia perkara yang normal untuk pemain handalan yang berada di bangku simpanan. Anda pergilah tengok di United, Liverpool, Real Madrid, Barcelona atau Bayern Munich, ramai pemain handalan juga berada di situ (bangku simpanan).

"Kami adalah sebuah kelab yang besar dan memiliki ramai pemain yang berbakat. Tetapi apabila anda mahu menjadi kelab yang lebih besar dengan ramai pemain handalan, bukan setakat lima atau enam, sepuluh atau sebelas tetapi anda juga perlu memiliki ramai pemain yang bagus.

"Oleh itu, saya berharap agar dia (Ndombele) perlu membiasakan diri untuk berada di bangku simpanan pasukan," katanya.

Untuk rekod, Ndombele, 23 menyertai Tottenham sejak setahun lalu dari Lyon dengan mencatat rekod untuk yuran perpindahan berjumlah RM327.38 juta.

Bagaimanapun, pemain berkenaan dilaporkan berdepan sedikit masalah dan ianya menjadi semakin serius selama enam bulan Mourinho memikul tanggungjawab selaku pengurus di kelab berkenaan.

Malah Ndombele juga dikatakan masih belum beraksi bagi tempoh 90 minit bagi musim ini, selain masih belum diturunkan sejak saingan EPL bersambung semula 17 Jun lalu setelah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu Mourinho berkata, dia pernah berdepan masalah sama ketika membimbing Real Madrid sebelum ini khususnya melibatkan pemain Croatia, Luka Modric yang pernah disifatkan sebagai pemain terburuk pernah dibawa masuk ke Santiago Barnebeu.

Bagaimanapun katanya, beberapa bulan selepas itu, Modric diangkat selaku wira dan kemudiannya diiktiraf sebagai pemain terbaik di dunia.

"Bola sepak sentiasa menampilkan pemain yang berdepan kesukaran pada peringkat awal, tetapi kemudiannya berakhir dengan penuh kejayaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf