PH bantah tukar Mohamad Ariff, Kor Ming

Saifuddin Nasution Ismail, Anthony Loke dan Hatta Ramli
Saifuddin Nasution Ismail, Anthony Loke dan Hatta Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) membantah sebarang usaha untuk menukar Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya, Nga Kor Ming memandangkan kedua-dua mereka telah diyakini akan terus berkhidmat dengan adil dan saksama.

Pendirian itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, hari ini.

Menurutnya, tidak wujud sebarang keperluan sama sekali untuk menukar pemegang dua jawatan ini memandangkan kedua-dua individu penting di Dewan Rakyat itu telah berkhidmat dengan baik.

"Tan Sri Yang di-Pertua, yang telah bersara dari politik kepartian sejurus memegang jawatan ini pasca PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) telah memainkan peranan yang amat mustahak dalam merakyatkan Parlimen di samping memulihkan kepercayaan umum terhadap institusi terpenting demokrasi di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN - Mohamad Ariff sahkan terima usul khidmatnya ditamatkan

"Daripada pembentukan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang baharu, mewujudkan Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Group) yang merapatkan hubungan di antara Ahli-Ahli Parlimen dan masyarakat sivil.

"Selain itu, pelbagai penambahbaikan perjalanan sidang Parlimen yang lain, YB Tan Sri Yang di-Pertua telah membuktikan bahawa usaha reformasi institusi yang bermula pasca PRU-14 telah mula membuahkan hasil dan wajib diteruskan.

"Sehubungan itu, Majlis Setiausaha PH menyatakan sokongan penuh ahli-ahli Parlimen pembangkang kepada Mohamad Ariff dan Kor Ming," katanya.

Terdahulu, Mohamad Ariff mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat ditamatkan.

Beliau berkata, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga Kor Ming sebagai Timbalan Speaker juga ditamatkan.

Artikel Berkaitan: