Streram serah kepada pucuk pimpinan parti

Streram
Streram
A
A
A

REMBAU – Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan calon yang sesuai mewakili parti pada PRK Dun Rantau.

Bekas calon PKR bagi kerusi itu pada PRU14 lepas berkata beliau bersedia membantu parti sekiranya beliau tidak dipilih sebagai calon.

“Walaupun nama saya adalah seorang daripada tiga nama, tetapi Cabang Rembau telah menyenaraikan lima nama kepada pimpinan tertinggi parti di Negeri Sembilan dan pusat. Saya yakin dapat sokongan daripada pemimpin atasan sebab saya dah bekerja di Dun Rantau selama tiga tahun.

“Sekiranya saya tidak dicalonkan saya akan beri sokongan kepada calon yang dipilih. Ini bukan kerana hal peribadi saya ini hal parti. Walaupun tidak tercalon, saya akan bekerja untuk calon yang diumumkan PKR mewakili PH untuk memenangi kerusi ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pada Rabu lepas, Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun dipetik sebagai berkata PKR negeri itu mencadangkan tiga nama termasuk Dr Streram untuk dicalonkan bagi PRK Dun Rantau dan namanya adalah keutamaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Rantau: Nafi Streram ditolak sebagai calon]

Pakar bius itu berkata dalam keadaan landskap politik semasa yang memihak kepada PH, beliau yakin parti itu mampu memenangi kerusi Dun Rantau.

Dalam pada itu, beliau yang menjangkakan PRK berkenaan diadakan hujung Disember ini berkemungkinan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru seandainya Pas mengumumkan untuk bertanding.

“Saya nampak peluang kepada saya jika dicalonkan amat cerah untuk menang iaitu sekitar 60 peratus,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Ditanya, sama ada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen Dun Rantau, Dr Streram berkata dalam pengetahuannya, setakat ini belum lagi.

“Dia (Mohamad) ada masa sehingga 30 November ini untuk merayu di Mahkamah Persekutuan, hari Isnin (3 Disember) sijil kekosongan akan dikeluarkan mahkamah. Jadi saya jangka PRK ialah pada penghujung Disember,” katanya.

Pada 28 April lepas, Dr Streram tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon dan lantaran itu, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.

Pada 23 Mei lepas, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK Dun itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Pada 16 November lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini memutuskan PRK Dun Rantau perlu diadakan serta merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal. – Bernama