SPRM gagal lucut hak MediaEdge Cia Malaysia Sdn Bhd

1Malaysia Development Berhad (1MDB)
1Malaysia Development Berhad (1MDB)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes lucut hak yang disita daripada akaun Mediaedge Cia Malaysia Sdn Bhd berjumlah RM4,631,602 juta berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa wang yang disita itu bukanlah merupakan hasil aktiviti haram dan undang-undang tidak membenarkan ia dilucut hak.

"Dalam keadaan ini SPRM telah gagal menyangkal satu kenyataan khusus yang dibuat oleh Mediaedge. Oleh yang demikian saya mendapati SPRM telah gagal membuktikan aras imbangan kebarangkalian bahawa sejumlah RM 4,631,602 dalam akaun HSBC Mediaedge itu ialah hasil daripada aktiviti haram.

"Mediaedge ialah satu entiti perniagaan sah yang menjalankan perniagaan sebagai penyedia perkhidmatan perhubungan media dan perkhidmatan yang diberi oleh Mediaedge adalah bersesuaian dengan bentuk perniagaan yang dijalankannya," katanya dalam prosiding hari ini.

Ahmad Shahrir berkata, Mediaedge telah menyediakan perkhidmatan media dalam perjalanan biasa perniagaannya dan jumlah RM 4,631,602 telah dibayar untuk perkhidmatan media yang disediakan di bawah perjanjian.

Timbalan Pendakwa Raya menggesa mahkamah untuk mengeluarkan satu perintah penalti kewangan terhadap Mediaedge di bawah seksyen 59 Akta 613.

Ahmad Shahrir memberitahu mahkamah dalam keputusan itu bahawa ia bukanlah sebahagian daripada apa yang dipohon pemohon dalam Notis Usul yang difailkannya.

Menurutnya, tiada sebarang fakta yang dinyatakan dalam afidavitnya bagi menyokong permohonannya untuk perintah ini.

Artikel Berkaitan:

"Oleh yang demikian saya mendapati pemohon telah gagal menunjukkan asas yang mencukupi bagi mahkamah ini membenarkan perintah sedemikian," katanya.

Ahmad Shahrir berkata, permohonan pelucuthakkan harta bukanlah satu mekanisme untuk mendesak pihak yang telah menerima wang yang dipertikaikan untuk 'memulangkan' atau 'membayar kembali' wang yang tidak lagi berada dalam milikan atau dalam akaun mereka akibat telah dibelanjakan.

Beliau berkata, wang yang boleh dilucutkan di bawah seksyen 56 Akta 613 mestilah wang yang telah terdahulunya disita atas sebab ianya seperti dalam kes ini yang merupakan hasil aktiviti haram dan sekiranya wang itu disita itu pada hakikatnya bukanlah hasil aktiviti haram, undang-undang tidak benarkan ia dilucut hak.

Menurut Shahrir lagi, berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa pemohon telah gagal membuktikan syarat-syarat penghubung di bawah seksyen 56(2)(a)(iii) dan syarat penghubung di bawah seksyen 56(2)(b) Akta 613.

Oleh demikian Shahrir menolak permohonan SPRM.

Mediaedge hari ini diwakili peguam Gopal Sreenevasan dan Michelle Chew Kim Lian.