X

Kindly register in order to view this article
!

Anti-sawit: Malaysia akan fail tindakan undang-undang terhadap EU

A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) membabitkan kempen anti-minyak sawit oleh blok berkenaan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu diambil menerusi Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Dalam satu kenyataan semalam beliau berkata, tindakan terbabit juga berdasarkan asas dan justifikasi serta selaras dengan prinsip amalan perdagangan yang telah digariskan oleh WTO.

"Polisi yang dilaksanakan oleh EU dalam 'Delegated Regulation' di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II (EU RED II) yang telah mewujudkan sekatan yang tidak sewajarnya ke atas usaha kemampanan dan kelestarian yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Malaysia, seterusnya menyekat amalan perdagangan bebas," katanya.

media[754094]**

Menurut Mohd Khairuddin, tindakan diskriminasi oleh EU tersebut akan menyebabkan lebih tiga juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara menerima impak negatif termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit.

EU telah meluluskan EU RED II pada Disember 2018 dan seterusnya 'Delegated Regulation' pada Mac 2019 yang merupakan peraturan pelengkap di bawah EU RED II.

Ia antara lainnya menerangkan mengenai kriteria atau metodologi menentukan sama ada sumber dalam pengeluaran biobahan api menyebabkan kadar perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi atau rendah serta kesannya terhadap pelepasan gas rumah hijau.

Mohd Khairuddin berkata, 'Delegated Regulation' berkenaan juga dilihat mempunyai kekurangan dari segi ketelusan serta kredibiliti saintifik.

"Terdapat banyak andaian yang dibuat memberi gambaran tidak tepat terhadap amalan kemampanan dan kelestarian industri sawit negara," katanya.

Malah katanya, ia juga dilihat berat sebelah apabila hanya minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai kadar risiko ILUC tinggi dalam kalangan minyak sayuran bagi sumber biobahan api.

"Berdasarkan 'Delegated Regulation' tersebut, minyak sawit telah dikategorikan sebagai mempunyai kadar ILUC yang tinggi, sekali gus menyebabkan jumlah eksport minyak sawit negara ke EU dijangka akan terkesan.

"Ini memandangkan biobahan api dengan kadar ILUC tinggi tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairuddin berkata, Malaysia akan turut terlibat sebagai pihak ketiga dalam kes yang telah difailkan oleh Indonesia.

"Penglibatan Malaysia ini sebagai tanda sokongan dan solidariti serta komitmen Malaysia sebagai negara pengeluar sawit untuk bersama Indonesia dalam menangani isu kempen anti-minyak sawit," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus komited mempertahankan kepentingan industri sawit yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!