KBS pertimbang infrastruktur sukan di DUN Chini

Reezal Merican (enam dari kanan) bersama atlet dan pengundi di DUN Chini selepas sesi sarapan pagi bersama pemimpin belia tempatan di Kampung Paloh Hinai hari ini.
Reezal Merican (enam dari kanan) bersama atlet dan pengundi di DUN Chini selepas sesi sarapan pagi bersama pemimpin belia tempatan di Kampung Paloh Hinai hari ini.
A
A
A

PEKAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan infrastruktur sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bagi membolehkan kegiatan sukan lebih mendapat tumpuan golongan belia setempat.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana bandar Chini berada jauh dari bandar yang mempunyai kemudahan lengkap.

Menurutnya, DUN Chini memerlukan infrastruktur sukan untuk kemajuan sukan anak tempatan.

"Hasil tinjauan saya dapati kawasan Chini perlu infrastruktur sukan seperti gelanggang futsal dan silat.

"Saya difahamkan atlet yang terlibat dengan silat sehingga jadi pemenang pingat emas dunia dari kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sarapan pagi bersama pemimpin belia tempatan dan atlet negara di Kampung Paloh Hinai hari ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican yakin Barisan Nasional (BN) di DUN Chini mampu menang sekali gus mempertahankan kubu kuat parti itu kerana mempertaruhkan calon muda yang mempunyai latar belakang kepimpinan dari persatuan belia.

Menurutnya, reaksi dalam kalangan anak muda, rakyat tempatan yang begitu positif menunjukkan petanda awal untuk BN terus kekal di Chini.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH Chini ini akan tetap dipertahankan sebagai kubu kuat BN dan mudah-mudahan diberi kemenangan cukup meyakinkan untuk calon BN, Mohd Sharim Md Zain," katanya.