Terengganu benar solat Aidiladha, ibadah korban di masjid

Osman Muda
Osman Muda
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu membenarkan solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid dan surau negeri ini tetapi hanya membabitkan melibatkan jemaah lelaki dan pemastautin sahaja.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, bilangan jemaah juga mengikut keluasan tempat ibadah itu selain perlu jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, kebenaran mengadakan ibadah itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Baginda juga menzahirkan rasa bersyukur dengan perkembangan semasa dan sehingga kini tiada kes baharu positif koronavirus (Covid-19) di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Osman berkata, kerajaan turut membenarkan ibadah korban dilakukan sama ada di perkarangan masjid atau surau, halaman rumah, kawasan lapang seperti padang, Rumah Penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS), Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta berlesen atau lokasi sesuai dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Mereka yang gagal mematuhi undang-undang bakal berdepan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Ta'zir) (Terengganu) 2001 atau Undang-undang yang berkaitan.

Katanya, mesyuarat Maidam pada 28 Jun turut bersetuju membenarkan kuliah atau pengajaran agama diadakan di masjid dan surau negeri ini bermula 1 Julai.

Menurut Osman, kuliah agama oleh imam masjid, dai'e dan muallim yang dilantik oleh Maidam sahaja boleh diadakan selepas solat maghrib dan ditamatkan apabila masuk waktu isyak.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau berkata, solat sunat, solat jenazah, penggunaan ruang selain ruang utama solat untuk ibadah solat seperti beranda masjid dan penggunaan tandas serta ruang berwuduk kecuali penggunaan kolah air turut dibenarkan.

“Perlaksanaan aktiviti keagamaan di atas hendaklah mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan telah ditetapkan serta syarat-syarat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.