Uncle Kentang agih 5,000 ayam percuma

Uncle Kentang mengagihkan 5,000 ekor ayam percuma di 15 lokasi sekitar Puchong dan Cheras semalam.
Uncle Kentang mengagihkan 5,000 ekor ayam percuma di 15 lokasi sekitar Puchong dan Cheras semalam.
A
A
A

PUCHONG - Seramai 5,000 keluarga di sekitar Puchong dan Cheras menerima sumbangan ayam percuma hasil agihan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang semalam.

Sumbangan berkenaan hasil sumbangan pembeli yang menyumbangkan seekor ayam bagi empat ekor ayam yang dibeli menerusi Program Ayam Rakyat Syawal 2020 anjuran Anugerah Hikmah Consultancy dan Services.

Chee Heng berkata, beliau terkejut apabila ada pihak menghubunginya dan memaklumkan hasrat mengagihkan sumbangan ayam berkenaan di 15 lokasi berasingan.

Menurutnya, agihan ayam berkenaan dilaksanakan dengan bantuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Sumbangan 5,000 ekor ayam bukan sedikit, tugas saya adalah untuk agihkan amanah tersebut. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang menderma dan sambutan program ini sangat baik.

“Harap lebih ramai menyumbang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang ‘awesome', katanya.

Pengarah Program Ayam Rakyat Syawal 2020, Wan Idora Irqin Wan Munawer berkata, menerusi program membeli sambil menderma itu pembeli yang membeli empat ekor ayam hanya akan menerima tiga ekor ayam manakala seekor lagi disumbangkan untuk Program Ayam Rahmat ‘Ayam dapat, pahala pun dapat’.

Menurutnya, pembeli dan penyumbang datang dari seluruh negara, program turut dijayakan bersama beberapa NGO lain dan 'social influencer' termasuk Cikgu Mohd Fadli Salleh.

Artikel Berkaitan:

“Kita gunakan Uncle Kentang sebagai platform untuk memanggil penerima sumbangan ayam ini.

“Mereka yang menerimanya adalah golongan kurang berkemampuan, asnaf dan fakir miskin,” katanya.

Sementara itu penerima, Sabran Osman, 63, berkata, dia bersyukur menerima sumbangan ayam berkenaan.

Pesara itu berkata, harga ayam mahal menyebabkan dia tidak dapat selalu membelinya untuk dijadikan lauk.

“Rasa beruntung dapat sumbangan ayam ini, sekarang harga ayam mahal tak mampu nak beli.

“Dapat bantuan macam ini rasa bersyukur sangat,” katanya.

Pembantu gerai, Nurazian Razali, 32, berterima kasih kepada penyumbang ayam berkenaan.

Katanya, dia ke lokasi penyerahan ayam di Surau Ar Ra’ayah, Puchong Permai sebaik menerima maklumat berhubung agihan tersebut.

“Terima kasih Uncle Kentang bagi ayam, bolehlah dijadikan lauk untuk dua tiga hari ini,” katanya.