X

Kindly register in order to view this article
!

SME Bank peruntuk RM2.1 bilion bantu kontraktor kecil, PKS

SME Bank menyasarkan peruntukan dana kepada kontraktor G2 dan G3 serta PKS sektor perkhidmatan dan pembuatan.
A
A

SME Bank memperuntukan dana sehingga RM2.1 bilion untuk Skim SME Go dan program Dana SME Transformasi Teknologi PKS (STTF).

Peruntukan itu disediakan berikutan mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merangsang kegiatan ekonomi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan semasa pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada 5 Jun lepas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan bertujuan membantu menggerakkan semula aktiviti pembinaan dalam kalangan kontraktor G2 dan G3 serta perniagaan usahawan PKS.

“Dana ini juga membantu meningkatkan penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang kini telah menjadi kebiasaan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, program pecutan dua tahun SME Bank merangkumi transformasi digital yang dimulakan pada 2019 telah meletakkan bank itu di posisi terbaik untuk melaksanakan mandat serta menyokong inisiatif kerajaan untuk membantu melestarikan usahawan PKS ketika penularan koronavirus (Covid-19).

“SME Bank memperuntukkan RM1.6 bilion melalui Skim SME Go yang menyasarkan 16,000 kontraktor G2 dan G3.

“Program STTF pula menerima peruntukan berjumlah RM500 juta dan menyasarkan PKS sektor perkhidmatan dan pembuatan,” katanya.

Tambahnya, Skim SME Go diberikan bertujuan membiayai modal kerja sewaktu peringkat prapelaksanaan kontrak pembinaan atau pembekalan atau penyelenggaraan yang ditawarkan oleh kerajaan pusat atau negeri, kementerian, jabatan atau agensi kerajaan.

“Bagi STTF pula pembiayaan bertujuan untuk pembelian peralatan, perisian komputer, perkhidmatan sokongan teknologi maklumat dan lain-lain aset tidak ketara.

“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti dan meningkatkan penembusan pasaran,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus