Ancaman selesema babi baharu, China cuba redakan kebimbangan

Virus G4 tersebut didakwa secara genetik berasal daripada virus selesema babi, H1N1 yang pernah mencetuskan pandemik pada 2009. - Foto: Agensi
Virus G4 tersebut didakwa secara genetik berasal daripada virus selesema babi, H1N1 yang pernah mencetuskan pandemik pada 2009. - Foto: Agensi
A
A
A

BEIJING - China hari ini cuba meredakan kebimbangan banyak tentang ancaman selesema babi baharu yang didakwa berpotensi mencetuskan pandemik dan meningkatkan risiko jangkitan ke atas manusia dengan menyatakan kajian ke atas khinzir itu dilakukan 'secara rawak'.

Kenyataan itu dibuat selepas kajian diterbitkan jurnal sains Amerika Syarikat, PNAS mendakwa virus baharu digelar G4 tersebut mempunyai ciri penting untuk menjangkiti manusia dan boleh menyebabkan satu lagi pandemik selepas koronavirus (Covid-19) menjangkiti lebih 10 juta individu di seluruh dunia.

"Virus G4 yang disebut dalam laporan itu adalah jenis virus H1N1. Pakar telah menyimpulkan ukuran sampel laporan itu adalah kecil dan secara rawak," kata jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian.

Menurutnya, pakar dan jabatan berkaitan akan terus mengawasi wabak itu, memberi amaran dan menanganinya.

Penyelidikan dilakukan saintis di universiti China bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mendapati virus selesema babi baharu tersebut secara genetik berasal daripada virus H1N1 yang pernah mencetuskan pandemik pada 2009.

Laporan berdasarkan 30,000 sampel swab di pusat penyembelihan khinzir di 10 wilayah di Beijing itu juga mendakwa G4 berpotensi berjangkit, meniru sel manusia dan mengakibatkan simptom lebih serius pada feret iaitu haiwan kecil seakan-akan memerang berbanding virus lain.

Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan berlaku penyebaran antara manusia malah China juga tidak memberikan butiran lanjut tentang jumlah sebenar individu yang telah dijangkiti. - AFP

Artikel Berkaitan: