'BMF hanya bahan politik Pas'

Kempen BMF yang bertujuan baik untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu dan mempromosikan produk berkonsepkan Islam dikatakan dipolitikkan Pas sebelum ini. Gambar kecil: Faiz Fadzil
Kempen BMF yang bertujuan baik untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu dan mempromosikan produk berkonsepkan Islam dikatakan dipolitikkan Pas sebelum ini. Gambar kecil: Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan Pas hanya mempolitikkan Kempen Beli Barangan Muslim Dahulu atau Buy Muslim First (BMF) kerana kempen berkenaan sudah tidak penting lagi bagi mereka.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Faiz Fadzil berkata, kempen BMF walaupun bertujuan baik untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu dan mempromosikan produk berkonsepkan Islam namun dipolitikkan Pas sebelum ini.

“Kini nampaknya sudah hilang bisanya hanya dalam tempoh tidak sampai setahun. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas seharusnya sudah mampu membentangkan BMF sebagai dasar ekonomi negara.

“Bagaimanapun kempen itu dilihat tidak lagi diendahkan PN dan Pas malah dalam ucapan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada 5 Jun lalu, nampaknya kempen itu sudah diketepikan dan digantikan dengan kempen Buy Malaysia," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, 'Buy Malaysia' sama dengan 'Beli Barangan Buatan Malaysia' yang digerakkan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mengembangkan ekonomi negara dan meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia.

Beliau turut mempersoalkan tidak diteruskan untuk mengukuhkan ekonomi Melayu-Islam di Malaysia dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) diumumkan di bawah PN dengan nilai RM275 bilion.

“Apakah Pas dan PN hanya memanipulasi sentimen Melayu-Islam untuk kepentingan politik tetapi mengabaikannya setelah menjadi kerajaan?

“Jika diteliti ketiga-tiga PRE yang diumumkan PN, tidak ada sebarang peruntukan atau geran khusus untuk membantu industri halal Malaysia mengukuhkan operasi terjejas akibat wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Bukan itu sahaja, kempen 'Buy Malaysia' juga tidak mempunyai inisiatif khas untuk perniagaan Melayu-Islam,” katanya lagi.

Faiz berkata, sepatutnya ada usaha seperti penandaan produk BMF, mengarahkan pasar raya menyediakan sebahagian peratusan ruang rak untuk barangan BMF dan mewajibkan produk BMF dipromosi di platform e-dagang jika Pas dan PN benar-benar prihatin terhadap kempen itu.

“Kerajaan PH sebelum ini memberikan penekanan kepada perkembangan industri produk halal yang cukup penting untuk sosio-ekonomi orang Melayu-Islam. Menerusi kempen 'Buy Malaysian Product First' fokus kepada produk halal telah diintegrasikan,” katanya.