MPM namakan Raja Permaisuri Agong sebagai penaung

Megat D Shahriman
Megat D Shahriman
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) akan membuat beberapa pindaan terhadap perlembagaannya termasuk mencadangkan Raja Permaisuri Agong sebagai penaung badan induk itu.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya bagaimanapun perlu mendapatkan kelulusan daripada ahli majlis terlebih dahulu, berhubung pindaan perlembagaan yang dicadangkan itu.

“Kita akan dapatkan kebenaran atau kelulusan daripada ahli majlis untuk meletakkan Raja Permaisuri Agong sebagai patron. Itu merupakan satu pindaan perlembagaan. Tapi pindaan itu semua adalah mengikut Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

“Kami perlu pastikan ia adalah selari dengan apa yang ditetapkan IPC,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MPM di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini hari ini.

Ketika ini, kerusi penaung disandang Tun Jeanne Abdullah. Beliau ialah isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perlembagaan MPM akan dipinda untuk menyelaraskan kandungan mengikut saranan IPC, Pesuruhjaya Sukan Malaysia, dan perkembangan terkini berikutan pindaan Akta Pembangunan Sukan (Pindaan 2018). - Bernama

Artikel Berkaitan: