Guna fakta bila ungkit isu sensitif

Kenyataan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkaitan isu perkahwinan bawah umur mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Kenyataan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkaitan isu perkahwinan bawah umur mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
A
A
A

KENYATAAN bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkaitan isu perkahwinan bawah umur mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Malah Yeoh turut ‘diundang’ ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berkaitan kenyataannya di laman sosial itu yang menurut beberapa pihak berunsur hasutan.

Pada coretan 9 Jun, Yeoh bertanya: “Apakah akan terjadi kepada pelan kebangsaan menangani perkahwinan bawah umur dengan pelantikan ahli Parlimen Pas sebagai Timbalan Menteri?”

Kenyataan itu turut membawa kepada beberapa laporan polis dengan ahli Parlimen Segambut itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Salah satu daripada usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah merangka Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah bekas kementerian Yeoh.

Strategi itu termasuk mencari titik pertemuan isu perkahwinan bawah umur dengan orang dewasa – yakni menjaga kebajikan kanak-kanak sambil memelihara sensitiviti agama dan budaya masyarakat tertentu.

Tulisan Yeoh itu ditafsirkan golongan tertentu sebagai cuba mencetus perasaan marah dan menyakiti hati. Adakah itu tafsiran yang disengajakan untuk mengheret Yeoh dan parti DAP ke dalam kontroversi politik dan perkauman?

Soalan itu dikemukakan kerana daripada maklum balas di laman sosial, ada cubaan memutar-belitkan kenyataan beliau sebagai menghina agama, malah Raja-raja Melayu sebab baginda ialah tonggak pembela agama.

Artikel Berkaitan:

Beberapa ahli Parlimen termasuk dari UMNO menyuarakan sokongan terhadap Yeoh. Salah seorang daripadanya ialah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) itu menulis di Twitter: “Ini duluan yang buruk dan boleh menyebabkan kebanjiran ‘yang tak diperlukan’ untuk menyoal ahli Parlimen atau ADUN kerana menyuarakan pandangan di Twitter.”

Sebelum Yeoh, golongan kerabat telah pun menyuarakan pendirian berkenaan isu itu.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 4 Disember 2019 menulis di Twitter: “Jadi, saya ingin mengesyorkan kepada kerajaan Malaysia supaya semua rakyat Malaysia diwajibkan bersekolah sehingga Tingkatan Lima, bagi membasmi kemiskinan dan menghentikan perkahwinan kanak-kanak.”

Had umur

Setahun sebelumnya, Sultan Selangor Tuanku Sharafuddin Idris Shah dipuji sebagai sultan yang prihatin apabila Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan pindaan had umur minimum perkahwinan Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

Dalam ucapan Sembah Taatnya, Menteri Besar Amirudin Shari berucap: “Ketika isu perkahwinan bawah umur menggemparkan negara, Duli Yang Maha Mulia Tuanku memberi perkenan untuk meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 bagi menaikkan had umur minimum perkahwinan.”

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula menyuarakan pendirian di Twitternya pada 24 September 2018: “Jadikan umur perkahwinan untuk kanak-kanak perempuan kepada 14 tahun sebagai sah? Apa yang sedang berlaku di negara ini? Ini betul-betul gila.”

Negeri Kelantan yang diperintah Pas selama tiga dekad mencatatkan kes kahwin bawah umur yang tertinggi di negara pada tahun 2018 - iaitu 135 daripada 841 kes yang direkodkan. Sehingga hari ini, Kelantan enggan menaikkan had umur dari 16 kepada 18 tahun.

Hakikatnya isu itu amat sensitif dan perlu diselesaikan secara bermuafakat dan kemasyarakatan di mana kita saling hormat menghormati dan menjaga perasaan semua pihak.

Isu itu juga boleh memberi kesan kepada masyarakat majmuk seperti peristiwa pertukaran agama ibu bapa yang juga melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Dewan Rakyat, jawatankuasa khas dan Majlis Raja-Raja merupakan platform yang paling sesuai untuk membahas dan berbincang mengenai isu itu.

Perbincangan di laman sosial pula perlu berdasarkan fakta, tidak melampaui batas dengan mengamalkan sifat sopan santun yang merupakan salah satu keperibadian rakyat Malaysia.

Penulis tidak pasti penglibatan pihak berkuasa dalam hal ini akan membawa manfaat. Malah, ia hanya akan menghindarkan usaha untuk mencari titik pertemuan dan mungkin juga memudaratkan hubungan antara rakyat.

* Terence Fernandez ialah penerima anugerah kewartawanan Persatuan Penerbit Asia (SOPA)