Duta China peminat musang king

Bai Tian yang sebelum ini digelar sebagai ‘jurujual durian yang paling hebat’ muncul dalam video berdurasi 1 minit 35 saat memperkenalkan keistimewaan musang king kepada penonton TikTok.
Bai Tian yang sebelum ini digelar sebagai ‘jurujual durian yang paling hebat’ muncul dalam video berdurasi 1 minit 35 saat memperkenalkan keistimewaan musang king kepada penonton TikTok.
A
A
A

DUTA China ke Malaysia, Bai Tian menerima pujian daripada netizen apabila mempromosikan durian musang king melalui aplikasi TikTok baru-baru ini.

Bai Tian yang sebelum ini digelar sebagai ‘Duta China ke Malaysia yang paling suka makan durian’ dan ‘jurujual durian yang paling hebat’ muncul dalam video berdurasi 1 minit 35 saat dengan memperkenalkan keistimewaan musang king kepada penonton TikTok.

“Terus terang saya cakap, ia sangat sedap!” kata beliau dalam video tersebut sambil tangan kirinya memegang pinggan yang berisi durian musang king sementara tangan kanan pula menunjukkan tanda ‘bagus’.

Melihat aksinya begitu, sudah tentu ramai yang teruja, khasnya warganegara China untuk datang ke Malaysia mencari durian musang king.

Sejak dilantik sebagai Duta China ke Malaysia pada November 2017, setiap tahun apabila tibanya musim durian, Bai Tian tidak ketinggalan mempromosikan ‘Raja Buah’ itu, lebih-lebih lagi musang king yang amat digemarinya.

Pada Januari 2018, Bai Tian mula mengenali durian tempatan secara lebih dekat apabila menerima jemputan melawat Bentong, Pahang yang terkenal dengan lambakan durian yang lazat.

“Apabila memperkatakan mengenai Malaysia, apakah benda yang mula-mula terlintas dalam fikiran anda? Sekarang ialah bulan Jun, musim durian berbuah!” katanya.

Melalui rakaman video itu, Bai Tian berkata, hampir seluruh kawasan di Malaysia menghasilkan durian dengan lebih 20 jenis dan nama.

Artikel Berkaitan:

“Hari ini, saya mahu memperkenalkan musang king. Apabila sudah masak, ia akan gugur sendiri. Isinya tebal dan rasanya cukup enak. Bagaimana hendak membezakan musang king dengan durian lain?

“Biasanya, musang king tidak besar, durinya pendek dan kasar. Paling ketara ialah di bahagian bawah berbentuk bintang lima garisan. Setelah buka, isinya warna kuning keemasan, tebal, harum, manis tapi sedikit pahit,” katanya.

Selain durian, Duta China ke Malaysia itu turut mempromosikan keunikan Malaysia termasuk makanan tempatan dan destinasi pelancongan yang popular di negara ini kepada pelancong dari China.

“Rakyat Malaysia amat peramah dan baik. Harap selepas berakhirnya Covid-19, semua orang mengambil peluang untuk melawat ke Malaysia, sebuah negara yang indah untuk dilawati,” katanya.

Pada tahun 2019, Bai Tian sanggup pergi ke sebuah pusat membeli belah di Beijing, China untuk membeli musang king sejuk beku bagi tujuan promosi di negara berkenaan.

Masyarakat Cina tempatan menggelarkan musang king sebagai ‘Mao Shan Wang’ yang bermaksud raja kucing gunung iaitu merujuk kepada bentuk isi durian mirip posisi kucing tidur.