Pelan alternatif Cheng Hoe

Cheng Hoe
Cheng Hoe
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap mempunyai pelan tersendiri memantau anak buahnya walaupun perancangan mengadakan kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin tidak kesampaian.

Menurutnya, beliau akan cuba berhubung dengan jurulatih setiap pasukan masing-masing untuk mengetahui perkembangan semasa pemain apabila terutama apabila kerajaan memberi kelonggaran untuk latihan penuh diadakan.

“Memang kita ada perancangan memantau pemain yang akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Buat masa ini mungkin masih awal kerana setiap pasukan masih menjalani latihan yang ada penjarakkan sosial.

“Kalau dah dapat kelonggaran daripada kerajaan untuk latihan penuh, kami barisan jurulatih akan memantau atau berjumpa dengan jurulatih untuk lihat apa perkembangan pemain sebelum menyenaraikan mereka bagi menghadapi baki perlawanan kelayakan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Laporan Sinar Harian 21 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian 21 Jun lalu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan hasrat Cheng Hoe untuk mengadakan kem latihan pusat secara kuarantin tidak kesampaian selepas kerajaan memberikan kelonggaran kepada setiap pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menyambung kembali latihan.

Dalam masa sama, bekas pengendali Kedah itu juga mengakui mempunyai tempoh yang singkat untuk membentuk pasukan sekiranya saingan liga bermula pada September.

Harimau Malaya dijangka mengharungi baki Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu di Abu Dhabi pada 8 Oktober, sebelum bertemu Vietnam lima hari kemudian dan menamatkan kempen dengan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut menasihati pemain supaya menjaga stamina dan tahu tanggungjawab mereka dalam mengekalkan kecergasan sebelum aksi kelayakan tersebut.

“Sekarang pun sudah mula boleh berlatih bersama pasukan masing-masing dan pemain kena bersedia dari segi fizikal, mental, jaga pemakanan dan rehat agar mereka sentiasa bersedia ketika dipanggil nanti,” katanya.