X

Kindly register in order to view this article
!

Seringkali penampilan tidak seiring dengan sikap

Daripada segi cara berpakaian, nampak lelaki itu seperti berpelajaran tinggi namun penampilan tidak seiring dengan sikap.
A
A

TENGAH hari semalam, Merak Jalanan pergi ke sebuah hospital swasta untuk menziarahi jiran yang diserang penyakit jantung Isnin lalu.

Baru minggu lepas Merak Jalanan berbual dengan jiran itu, seorang pesara pegawai tentera. Orangnya ramah, aktif berkebun dan sering melakukan senaman ringan di kawasan rumah.

Secara fizikalnya, beliau seorang tegap walaupun sudah berusia 72 tahun.

Betul apa yang orang selalu cakap, serangan jantung tidak pilih bulu. Penyakit itu boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira amalan gaya hidup mahupun pemakanan seseorang itu.

Selepas selesai bertanya khabar Merak Jalanan meminta izin untuk pulang kerana ada mesyuarat penting di pejabat pada sebelah petang.

Ketika melalui salah satu bilik rawatan, Merak Jalanan terdengar seorang lelaki lewat 40-an berkata sesuatu kepada seorang lelaki lain yang sedikit muda di hadapannya. Wajah mereka nampak seiras, mungkin adik-beradik.

Si abang seperti menyalahkan adiknya kerana membiarkan ibu mereka menjaga cucu dan mengatakan punca wanita itu sakit kerana menjaga anak kecil.

Merak Jalanan bukan sengaja hendak mencuri dengar perbualan mereka tetapi si abang bercakap dengan nada tinggi dan dengan wajah yang ‘ketat’. Walaupun dalam bilik tetapi orang di luar boleh mendengar butir bicara dan melihat aksi mereka.

Di mana akal dia? Itukan wad khas untuk pesakit jantung, mengapa perlu bercakap kasar? Kalau pun ada masalah keluarga, tak perlu bergaduh di situ.

Daripada segi cara berpakaian, nampak lelaki itu seperti berpelajaran tinggi namun penampilan tidak seiring dengan sikap.

Mungkin yang terlantar di katil hospital itu ialah ibu mereka. Aduhai, kasihan betul orang tua yang memiliki anak-anak seumpama itu.

Oleh itu, jadilah anak-anak yang membahagiakan ibu bapa dan bukan merosakkan hati dan perasaan mereka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!