Patuhi SOP, manfaatkan Fasa 1

Aksi Veenod (kanan) bersama Sarawak United sebelum saingan Liga-M ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 pada Mac lalu.
Aksi Veenod (kanan) bersama Sarawak United sebelum saingan Liga-M ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 pada Mac lalu.
A
A
A

PEMAIN Sarawak United, S Veenod menyifatkan kelonggaran diberikan untuk pemain Liga Malaysia (Liga-M) kembali menjalani latihan Fasa 1 dipandu berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin sebelum memasuki Fasa 2.

Biarpun bekas pemain kebangsaan itu mengakui bakal berdepan sedikit kejanggalan dengan normal baharu berikutan pandemik Covid-19 yang sekali gus mengubah senario landskap Liga-M, namun bagi pemain tengah itu satu cabaran kepada pemain-pemain untuk segera menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Secara jujur saya gembira apabila pemain-pemain dapat kembali semula berlatih di padang setelah sekian lama hanya berlatih di rumah susulan penangguhan liga dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) biarpun masih terdapat pasukan yang masih dalam proses menunggu kelulusan memulakan latihan.

“Biarpun berlatih di rumah lebih kepada aspek kecergasan sepanjang tempoh PKP, namun saya percaya sebagai pemain profesional perlu juga kembali mengambil semula semangat padang untuk seseorang pemain itu berada pada prestasi terbaiknya.

“Apapun saya akui setelah hampir tiga bulan tidak berada di padang, ia satu cabaran kerana setiap pemain saya percaya perlu mengambil sedikit masa mengembalikan semula prestasi masing-masing,” kata pemain berusia 32 tahun yang memulakan karier bersama Pulau Pinang itu kepada Sinar Harian.

Mengenai kemungkinan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memulakan lebih awal saingan Liga-M pada Ogos berbanding jangkaan awal September depan, Veenod yang pernah menyarung jersi pasukan seperti Selangor, Kelantan dan Melaka United menyifatkannya sebagai petanda positif dalam menghidupkan kembali semangat sukan nombor satu negara ini yang hampir lumpuh berikutan Covid-19.

“Pada saya setiap pemain perlu bersedia mental dan fizikal bagi mengharungi kepadatan jadual apabila liga bersambung semula. Kepadatan jadual memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan, tapi saya percaya jurulatih setiap pasukan mempunyai perancangan tersendiri dalam memastikan pemain masing-masing kekal kompetitif menyaingi lawan.

“Apa yang penting di sini pada saya adalah setiap pemain dan pegawai pasukan perlu mengekalkan tahap disiplin tinggi dalam pematuhan SOP ditetapkan pihak berkuasa dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga harap penyokong-penyokong pasukan Liga-M juga akan mematuhi SOP yang ditetapkan sekiranya kerajaan memberikan kelonggaran kepada pemain ke-12 ini kembali semula ke stadium bagi menyemarakkan lagi kemeriahan liga,” katanya.