Tiga kampung di Hulu Perak dilanda banjir kilat

Anggota bomba memindahkan dua kanak-kanak yang terlibat dalam kejadian banjir kilat di Pengkalan Hulu, Perak sebentar tadi. - Foto JBPM Perak
Anggota bomba memindahkan dua kanak-kanak yang terlibat dalam kejadian banjir kilat di Pengkalan Hulu, Perak sebentar tadi. - Foto JBPM Perak
A
A
A

PENGKALAN HULU - Tiga kampung di daerah Hulu Perak di sini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu, Penolong Penguasa Bomba Syahirul Anwar Abdul Azam berkata, seramai sembilan penduduk daripada dua keluarga telah dipindahkan ke tempat selamat berikutan air naik setinggi hampir satu meter.

Beliau berkata, anggota bomba dan penyelamat menerima maklumat banjir kilat pada jam 5.49 petang tadi akibat limpahan air sungai berhampiran susulan hujan lebat.

“Lokasi yang terlibat ialah Kampung Bukit Buluh yang mana lima penduduk telah dipindahkan, sementara Kampung Kuak Tengah pula melibatkan empat penduduk.

“Bagi Kampung Bukit Serdang pula, operasi pemantauan sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini sebentar tadi.

Syahirul Anwar berkata, kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tiada pusat pemindahan dibuka lagi setakat ini.

Beliau berkata, operasi pemantauan dan pemindahan melibatkan 16 pegawai dan anggota.

Artikel Berkaitan: