Muhyiddin bertemu pemimpin parti dalam Perikatan Nasional

Muhyiddin bersama ketua-ketua parti PN pada satu pertemuan khas di Putrajaya petang tadi.
Muhyiddin bersama ketua-ketua parti PN pada satu pertemuan khas di Putrajaya petang tadi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri di sini petang tadi.

Pemimpin yang hadir pada pertemuan itu ialah Presiden-presiden parti terdiri daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (MCA), Tan Sri S Vigneswaran (MIC) dan Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Abang Openg (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu).

Turut serta, Profesor Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), Datuk Seri Tiong King Sing (Parti Demokratik Progresif), Tan Sri Amar James Jemut Masing (Parti Rakyat Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Parti Bersatu Sabah), Tan Sri Panglima Joseph Kurup (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Parti Solidariti Tanah Airku).

Muhyiddin berkata, ketua-ketua parti yang berada dalam kerajaan PN bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Ketua-ketua parti yang mendokong kerajaan PN telah mengadakan satu pertemuan petang tadi di Putrajaya.

“Semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri dan bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya menerusi satu hantaran pada Facebook beliau semalam.

Muhyiddin turut mendedahkan bahawa mesyuarat itu diadakan selama dua jam dan turut dihadiri Ketua Whip kerajaan PN dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sementara itu, sumber terdekat kerajaan sewaktu dihubungi berkata, selain menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, objektif pertemuan ketua-ketua parti di bawah PN itu dipercayai ada kaitan dengan spekulasi pencalonan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat baharu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Muhyiddin difahamkan memberi penjelasan berhubung keputusan beliau mencalonkan Datuk Azhar Azizan bagi menggantikan penyandangnya, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof dari Parti Amanah Negara (Amanah) susulan terdapat kegusaran dalam kalangan segelintir ahli Parlimen PN terhadap perkara itu.

“Selain itu, pertemuan tersebut juga dipercayai membincangkan strategi kerajaan PN bagi menangani dua usul undi percaya kepimpinan Muhyiddin dikemukakan Pas serta usul undi tidak percaya terhadap beliau yang bakal dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Parlimen 13 Julai depan.

“Tidak mustahil juga perbincangan proses mendaftarkan PN sebagai satu pakatan sah turut dibangkitkan dalam pertemuan itu susulan terdapat ura-ura Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.