Ketua Wanita PKR Terengganu isytihar keluar parti

Sharifah Norhayati (kanan) mengumumkan keluar PKR pada sidang akhbar di Besut hari ini.
Sharifah Norhayati (kanan) mengumumkan keluar PKR pada sidang akhbar di Besut hari ini.
A
A
A

BESUT - Hilang kepercayaan terhadap parti menyebabkan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar Alyahya bersama 15 orang kepimpinan Wanita PKR negeri mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Mereka mengambil keputusan demikian susulan pemecatan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha daripada parti yang dakwa mereka sebagai bukti jelas PKR sudah hilang arah dan semakin bercelaru.

Sharifah Norhayati berkata, Haniza bukan satu nama kecil dalam pembangunan dan perkembangan parti khususnya bagi sayap Wanita PKR.

"Menyingkap satu demi satu peristiwa yang berlaku dan pergolakan dalam PKR seolah-olah menjadi susunan cerita bersiri yang bersambung tanpa henti.

"Saya sendiri sebagai pendokong dan pemimpin kecil sejak sekian lama tidak dapat membayangkan bahawa parti yang suatu ketika dulu adalah satu-satunya parti kebanggaan ramai dan menyalakan semangat juang yang gah tanpa kenal putus asa menjadi sebegini.

"PKR semakin hilang di hujung sebuah ikrar bila parti memilih menzalimi anggota sendiri dan membuat banyak pemecatan anggota parti tanpa perbicaraan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - PKR pecat 5 ahli termasuk Ketua Wanita, Haniza Talha

Sharifah Norhayati berkata, senario yang sangat tidak sihat itu bukan sahaja boleh menghilangkan kepercayaan dalam kalangan anggota parti, malah kepercayaan rakyat juga terhakis.

Menurutnya, pertelingkahan yang berlaku sebenarnya boleh diselesaikan secara rundingan musyawarah kekeluargaan.

"Lembaga Disiplin hanya dijadikan platform untuk memecat sesiapa sahaja yang cuba menegur dan menyuarakan pandangan sehingga ramai yang terlupa pada niat perjuangan asal.

Artikel Berkaitan:

"Pada awal perjuangan dalam parti ini, kita sangat lantang demi sebuah keadilan, keharmonian, menuntut kebebasan bersuara dan mengecam pemimpin yang bersikap autokratik. Malangnya, Presiden kita sendiri telah menempatkan dirinya di situ," katanya.