X

Kindly register in order to view this article
!

Negeri Sembilan sasar pelaburan RM5 bilion

Mohamad Rafie Ab Malek
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan nilai pelaburan tempatan dan asing ke negeri ini sebanyak RM5 bilion menjelang akhir tahun ini berbanding sebanyak RM3.68 bilion pada tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pihaknya optimis bahawa masih boleh berjaya membawa pelaburan walaupun menghadapi masalah yang agak sukar dengan wabak Koronavirus (Covid-19).

"Nilai pelaburan asing yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi Negeri Sembilan sehingga 31 Mei lalu berjumlah RM540 juta.

"Ketika ini kerajaan negeri dalam usaha menambah nilai pelaburan kepada sekitar RM1.5 bilion yang kini dalam proses kelulusan MIDA," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Rafie berkata, jumlah keseluruhan pelaburan yang telah dipohon menerusi MIDA hampir RM2 bilion.

“Kita juga sedang berusaha untuk pembukaan tanah untuk pembangunan di kawasan Malaysian Vision Valley 2.0 yang akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini. Ini adalah usaha untuk memastikan pelaburan di negeri ini bertambah.

"Berdasarkan kedudukan negeri ini yang strategik iaitu berhampiran dengan Lembah Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang, kita yakin nilai pelaburan akan bertambah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memutuskan untuk membenarkan pemilikan tanah perindustrian dan perusahaan sama ada berstatus pajakan atau pegangan bebas dengan syarat ia bernilai RM2 juta dan ke atas kepada syarikat asing.

"Ini merupakan syarat baharu yang diperkenalkan selepas merombak syarat sedia ada. Ia juga bertujuan bagi meningkatkan lagi pelaburan asing di negeri ini dan pemilikan hanya dibenarkan kepada syarikat dan pengilang yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Tiada syarat lain. Kalau ada syarat-syarat lain sebelum ini yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian, ia terbatal dan perkara itu berkuatkuasa serta-merta," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!