Pendaftaran insentif pengambilan pekerja dibuka

Saravanan
Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan boleh membuat permohonan insentif pengambilan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya bermula semalam yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui sistem www.penjanakerjaya.perkeso.gov.my, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Program insentif pengambilan pekerja diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada 5 Jun lepas, yang menawarkan insentif kewangan kepada majikan antara RM600 dan RM1,000 bagi seorang pekerja atau perantis yang diambil bekerja sehingga tempoh enam bulan.

Saravanan berkata, pendaftaran profil majikan dan pencari kerja di bawah PenjanaKerjaya telah bermula pada 15 Jun lepas.

"Majikan yang mempunyai kekosongan jawatan digesa menggunakan platform yang disediakan bagi memperoleh insentif pengambilan pekerja tempatan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dari 15 Jun hingga 30 Jun lepas, portal MYFutureJobs www.myfuturejobs.gov.my mencatatkan purata harian 3,088 pencari kerja dan 2,692 kekosongan jawatan.

"Ini menjadikan jumlah terkumpul sebanyak lebih daripada 113,300 pencari kerja dan hampir 95,400 kekosongan aktif (jawatan sedia untuk diisi) yang direkodkan oleh MYFutureJobs," katanya sambil menambah inisiatif kerajaan itu bertujuan meningkatkan pewujudan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Katanya, pencari kerja akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai melalui program tersebut.

Saravanan berkata, insentif itu merangkumi bantuan kewangan untuk majikan yang menggajikan lepasan sekolah, siswazah, penganggur dan pekerja yang diberhentikan serta perantis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, di bawah skim MYApprentice, majikan layak mendapat insentif pengambilan sebanyak RM600 seorang jika menggajikan perantis.

Di bawah skim HireMalaysia pula, majikan yang menggajikan penganggur berumur bawah 40 tahun akan mendapat insentif sebanyak RM800 bagi setiap pekerja, manakala untuk pengambilan penganggur berumur antara 40 hingga 60 tahun atau orang kelainan upaya (OKU), majikan layak mendapat insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap pekerja.

Saravanan berkata, majikan juga memperoleh manfaat pekerja mahir sekiranya pengambilan dilakukan melalui PenjanaKerjaya kerana pekerja terbabit boleh dihantar mengikuti kursus kemahiran dan peningkatan kemahiran.

Beliau berkata, antara kursus yang disediakan adalah Revolusi Industri 4.0, pengkomputeran awan, keselamatan siber, pembelajaran mesin, logistik, pembuatan, pembinaan, hospitaliti serta jualan dan pemasaran.

Bagi pencari kerja yang perlu berpindah untuk menerima tawaran pekerjaan di bawah PenjanaKerjaya, mereka akan diberikan bantuan mobiliti antara RM600 hingga RM1,000, katanya.

Untuk sebarang bantuan atau pertanyaan lanjut, pencari kerja dan majikan boleh hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara atau menghubungi talian 1-300-22-8000 atau 03-8091 5300.- Bernama