Kembar pemusnah Tentera Laut AS

A
A
A

TINDAK-tanduk agresif China sejak pandemik koronavirus (Covid-19) melanda seluruh dunia akhirnya mengundang operasi ‘kembar pemusnah’ Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) secara intensif berhampiran laman China di Laut China Selatan.

Sememangnya Tentera Laut AS mengekalkan kehadiran armada mereka di rantau ini sejak 75 tahun lalu lagi, namun pola kehadiran dan kombinasi latihan ketenteraan mereka jelas menunjukkan peningkatan yang signifikan

Paling ketara, sela masa operasi berkembar Carrier Strike Group atau Grup Tempur Kapal Induk (CSG) AS semakin meningkat. Sebagai perbandingan, pada tahun 2001 CSG Constellation dan Carl Vinson beroperasi bersama-sama di Laut China Selatan.

Operasi itu hanya diulangi lapan tahun kemudian iaitu pada 2009 apabila CSG George Washington dan Nimitz 2 beroperasi di Pasifik Barat.

Sela masa sembilan tahun itu kemudiannya berkurang kepada lima tahun apabila CSG George Washington dan Carl Vinson beroperasi di kedua-dua Laut China Selatan serta Laut China Timur pada September 2014.

Begitu juga empat tahun kemudian iaitu pada November 2018 apabila CSG Ronald Reagan dan John C Stennis melaksanakan operasi gabungan di Laut Filipina Barat.

Operasi

Pada tahun 2020 sahaja, dua operasi sedemikian telah dilaksanakan dalam tempoh seminggu.

Artikel Berkaitan:

Terkini, hanya dua tahun selepas kali terakhir operasi gabungan dilaksanakan, operasi berkembar dua CSG Amerika Syarikat kembali di Laut Filipina Barat apabila bukan dua tetapi tiga CSG melakukan kombinasi latihan pelayaran berkembar.

Ia melibatkan gabungan kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear (CVN) USS Theodore Roosevelt (CVN 71) dan USS Nimitz (CVN 68) pada 21 Jun 2020, diikuti gabungan armada Nimitz dan Ronald Reagan pada 28 Jun 2020.

CSG Nimitz terdiri daripada kapal pengangkut pesawat USS Nimitz (CVN 68), Carrier Air Wing (CVW), kruiser peluru berpandu USS Princeton, kapal pemusnah peluru berpandu USS Sterett dan USS Ralph Johnson.

Angkatan Theodore Roosevelt pula terdiri daripada USS Theodore Roosevelt (CVN 71), kruiser peluru berpandu USS Bunker Hill dan kapal pemusnah peluru berpandu daripada skuad pemusnah USS Russell, USS Rafaela Peralta serta Carrier Air Wing.

CSG Ronald Reagan terdiri daripada kapal pengangkut USS Ronald Reagan (CVN 76), Carrier Air Wing 5, kruiser peluru berpandu USS Antietam dan kapal pemusnah peluru berpandu USS Mustin.

CSG Ronald Reagan dikerahkan di pangkalan hadapan Yokosuka, Jepun dan sering melaksanakan rutin operasi pengamanan serta keselamatan di Indo-Pasifik.

Kebiasaannya, operasi pemusnah berkembar Tentera Laut AS di Laut China Selatan dilaksanakan apabila CSG Armada Ketujuh dari pantai barat Amerika digabungkan bersama CSG Armada Ketujuh dari pangkalan hadapan Yokosuka.

Faktor kritikal yang mendorong operasi besar-besaran Tentera Laut AS pada Jun 2020 adalah hakikat bahawa China baru sahaja menguji persenjataan dan operasi kapal pengangkut pesawat kedua mereka pada Mei lalu iaitu Shandong (Type 001A).

Dalam ujian itu, Shandong berjaya melancar dan menerima pendaratan pesawat pejuang Shenyang J-15. Pencapaian itu mengukuhkan motivasi Beijing yang sedang mengenakan tekanan ke atas Hong Kong dan Taiwan serta Filipina, Vietnam dan Malaysia di Laut China Selatan.

Maka, tidak hairanlah apabila Tentera Laut AS berulang kali menegaskan bahawa operasi mereka di Indo-Pasifik saat ini adalah untuk melindungi negara-negara sekutu mereka daripada ancaman ke atas kedaulatan mereka.

Mesej AS jelas iaitu China boleh berbangga dengan dua kapal pengangkut pesawat Liaoning dan Shandong mereka tetapi AS memiliki kombinasi kembar pemusnah Angkatan Armada Ketujuh Pasifik yang boleh dikerah dalam tempoh seminggu sahaja di Laut China Selatan.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda