Jangan sakiti hati jiran

A
A
A

ANTARA perkara yang mendatangkan kebahagiaan dalam hidup kita ialah mempunyai jiran yang baik.

Manakan tidak, jiran yang baik tentu sekali jiran yang tidak akan menyakiti kita, sama ada dengan perkataan atau perbuatannya.

Saya yakin ramai yang memendam rasa tentang sikap jiran mereka. Masing-masing tertekan dengan perangai jiran yang tidak menyenangkan.

Saya juga ada menerima luahan hati tentang masalah jiran yang menjengkelkan. Kebanyakannya sukar untuk menegur jiran kerana bimbang jirannya terasa hati atau timbul pergaduhan.

Sebenarnya banyak hadis Rasulullah SAW yang menyentuh tentang tatacara dan adab berjiran.

Dalam tulisan ini, saya ingin membawa beberapa buah hadis untuk sama-sama kita renungi dan hayati, seterusnya cuba sedaya upaya agar tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan dalam hadis tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang tetangganya tidak berasa aman daripada perangai buruknya.” (Riwayat Muslim).

Hadis tersebut memberi amaran kepada kita bahawa jika kita seorang yang berperangai buruk dan suka menyakiti jiran, maka tiada jaminan kita boleh masuk syurga.

Artikel Berkaitan:

Malah, dalam sebuah hadis lain ada disebutkan bahawa seorang perempuan dimasukkan ke dalam neraka hanya kerana sikapnya yang suka menyakiti jirannya meskipun dia banyak berbuat ibadah.

Lihatlah betapa besarnya dosa menyakiti jiran sehingga amal ibadah yang dilakukannya tidak dapat menyelamatkannya daripada api neraka.

Antara perbuatan jiran yang tidak menyenangkan jiran yang lain berdasarkan aduan yang saya sering terima atau yang saya baca adalah yang berkaitan dengan binatang peliharaan terutama kucing.

Dalam tulisan ini, saya ingin fokus kepada isu kucing kerana banyak rungutan berkaitan dengan kucing jiran yang mendatangkan keresahan kepada jiran yang lain, malah ada yang sampai mengalami tekanan perasaan.

Dalam Islam, tiada halangan untuk seseorang memelihara kucing. Ia juga merupakan binatang yang dikasihi Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, dalam kita berpegang pada hak kita untuk memelihara kucing tersebut, jangan pula sampai kita abaikan tanggungjawab terhadap jiran.

Sepanjang pengamatan saya, suasana di kampung jauh berbeza dengan suasana di bandar.

Mungkin jarak rumah yang jauh antara satu sama lain, memelihara kucing tidak sangat memberi kesan kepada jiran yang tinggal berjauhan.

Namun, situasi amat berbeza di bandar sebab kebanyakan rumah terletak bersebelahan antara satu sama lain.

Tidak semua orang sukakan kucing, apatah lagi yang boleh bertahan dengan bau kencing dan najisnya.

Jika jiran yang memelihara kucing tidak mengambil berat soal kebersihan dan penjagaan kucing dengan baik, keadaan itu akan menimbulkan rasa tidak selesa kepada jiran terdekat.

Ketidakselesaan semakin parah apabila kucing berkenaan kencing dan membuang najisnya di halaman jiran yang lain.

Dalam hidup berjiran, kita bukan sahaja perlu menjaga tutur kata kita agar tidak melukai hati jiran tetapi segala perbuatan kita juga jangan sampai menyakiti mereka.

Sikap dan tindakan kita yang tidak menghiraukan perasaan jiran apabila membela kucing tanpa menjaganya dengan betul adalah termasuk dalam erti kata menyakiti jiran.

Bagi seorang Muslim, sayugia kita memahami hadis Rasulullah SAW di atas dan juga hadis lain yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhir (kiamat), hendaknya tidak menyakiti jiran tetangganya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Akhir kalam, jadilah jiran yang membahagiakan dan bukan jiran yang menyakiti jirannya yang lain.

Wallahualam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah