RM35 juta untuk 4,000 taska menerusi Penjana

Siti Zailah menyampaikan sijil perakuan taska kepada Pengusaha Taska Sinarku Gemilang Cawangan Sekolah Tunas Bakti, Suhaili Othman (kiri) di Melaka, hari ini.
- Foto Bernama
Siti Zailah menyampaikan sijil perakuan taska kepada Pengusaha Taska Sinarku Gemilang Cawangan Sekolah Tunas Bakti, Suhaili Othman (kiri) di Melaka, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan RM35 juta kepada hampir 4,000 pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, peruntukan itu bertujuan meringan beban kewangan yang perlu ditanggung ekoran penutupan sementara disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan Covid-19 bermula 18 Mac lepas.

"Peruntukan RM5,000 diberi bagi pengusaha taska institusi dan RM1,500 bagi setiap pengusaha taska di rumah. Pengagihan bantuan one-off itu sedang disalurkan secara berperingkat bergantung kepada permohonan pengusaha taska menerusi JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

"Kami menggalakkan semua pengusaha terlibat untuk segera memohon agar insentif tersebut dapat diagihkan sekali gus meringankan beban untuk meneruskan pengoperasi semula bermula hari ini," katanya di sini hari ini..

Sementara itu, Siti Zailah berkata, sebanyak 1,575 taska di bawah JKM telah mula dibuka secara berperingkat sehingga hari ini..

Beliau berkata secara keseluruhan, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan taska di bawah JKM yang telah dibuka dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

"Pembukaan taska ini penting khususnya kepada ibu bapa yang telah mula bekerja dan pada masa sama ingin memastikan anak mereka berada dalam keadaan selamat daripada risiko jangkitan Covid-19," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: