Permohonan insentif Penjana Kerjaya dibuka

Datuk Seri M Saravanan
Datuk Seri M Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersedia menerima permohonan daripada majikan bagi insentif pengambilan pekerja di bawah Program Penjana Kerjaya yang mula dibuka hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) itu dibuka melalui Sistem Penjana Kerjaya www.penjanakerjaya.perkeso.gov.my.

Beliau berkata, majikan ditawarkan insentif kewangan antara RM600 dan RM1,000 bagi seorang pekerja atau perantis yang diambil bekerja dalam tempoh enam bulan.

"Kementerian menggesa semua majikan yang mempunyai kekosongan jawatan untuk menggunakan platform yang disediakan kerajaan bagi memperoleh insentif pengambilan pekerja tempatan.

"Pencari kerja pula akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai melalui program ini. Inisiatif kerajaan ini bertujuan untuk meningkatkan peluang pekerjaan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Kerajaan perkenal Penjana bernilai RM35 bilion

Saravanan berkata, insentif pengambilan pekerja ini merangkumi bantuan kewangan untuk majikan yang menggajikan pekerja lepasan sekolah, siswazah, penganggur dan pekerja yang ditamatkan perkhidmatan serta perantis.

Menurutnya, di bawah skim MYApprentice, majikan layak mendapat insentif pengambilan sebanyak RM600 seorang jika menggajikan perantis.

"Bagi skim HireMalaysia pula, majikan yang menggajikan penganggur berumur bawah 40 tahun akan mendapat insentif sebanyak RM800 bagi setiap pekerja, manakala mereka yang menggajikan penganggur berumur antara 40 hingga 60 tahun atau orang kelainan upaya (OKU) layak mendapat insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap pekerja. Semua insentif ini akan diberikan selama enam bulan kepada majikan yang layak.

"Selain itu, majikan juga memperoleh manfaat pekerja mahir sekiranya pengambilan dilakukan melalui Penjana Kerjaya kerana kesemua pekerja terbabit boleh dihantar untuk mengikuti kursus kemahiran.

Artikel Berkaitan:

"Antara kursus yang disediakan adalah IR 4.0, Cloud Computing, Cyber Security, Machine Learning, Logistics, Manufacturing dan pelbagai kursus lain. Bagi pencari kerja yang perlu berpindah dan menerima tawaran pekerjaan di bawah Penjana Kerjaya, mereka akan diberi Bantuan Mobiliti antara RM600 hingga RM1,000," katanya

Untuk rekod, sehingga 30 Jun, pendaftaran profil majikan dan pencari kerja yang dibuka bermula 15 Jun melalui portal MYFutureJobs mencatatkan 3,088 purata harian pencari kerja dan 2,692 kekosongan jawatan menjadikan jumlah terkumpul lebih daripada 113,300 pencari kerja dan hampir 95,400 kekosongan aktif (jawatan sedia untuk diisi) yang direkodkan MYFutureJobs.