Salah guna kenderaan kerajaan: SPRM perlu ambil tindakan!

Andansura (kiri) dan Rosli
Andansura (kiri) dan Rosli
A
A
A

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengambil tindakan segera terhadap isu penyalahgunaan harta kerajaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Timbalan Pesuruhajaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, tindakan menggunakan kenderaan kerajaan untuk menjalankan kempen PRK, walaupun atas pelbagai alasan ia disifatkan tidak wajar dan salah.

“Saya anggap benda ini (guna kereta kerajaan) sama seperti rasuah, salah guna kuasa dan jentera kerajaan. SPRM kena ambil tindakan supaya dapat mengekang perkara itu dari terus berlaku.

“Dikhuatiri kalau tak bertindak mungkin ada pelbagai petisyen pilihan raya akan dibuat dan tidak mustahil akan adanya PRK lagi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu klik video tular berkenaan penyalahgunaan kenderaan kerajaan untuk kempen khusus PH.

Dalam klip rakaman berdurasi lima minit sembilan saat itu tersebar memaparkan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersemuka dengan Ketua Penerangan Umno Bahagian Rompin, Datuk Maznah Mazlan dengan beberapa individu lain daripada kedua-dua parti BN dan PH.

Mengulas lanjut mengenai isu terbabit, Andansura berkata, rakyat mahukan perubahan selepas PRU14, justeru PH kena melihat secara serius tentang perkara ini.

“Pada PRU14, kerajaan BN dah digantikan kepada PH, sebolehnya mereka (rakyat) mahu perubahan dari segi pendekatan sama ada layanan kepada mereka, layanan kepada organisasi begitu juga keadilan dalam amalan demokrasi khususnya PRU.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi ia berlaku sebaliknya apabila timbul insiden sedemikian yang membabitkan timbalan menteri menggunakan harta kerajaan,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Adun Beserah mahu Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) memandang serius perkara ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar mengingatkan kedua-dua parti BN dan PH agar tidak menyalahgunakan harta kerajaan dalam kempen.

Beliau turut menyelar tindakan parti tersebut yang bertindak sedemikian kerana kenderaan hanya boleh digunakan untuk urusan rasmi kerajaan saja.

“Ini tak sepatutunya berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai adakah isu ini akan dijadikan modal berkempen oleh pihak lawan, Rosli berkata, itu terpulang kepada parti masing-masing.