X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas CEO 1MDB nafi buat perjanjian dengan SPRM

A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menafikan ada membuat perjanjian dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengelakkan diri daripada didakwa di mahkamah.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan.

Muhammad Shafee: Adakah Datuk buat perjanjian supaya Datuk Seri Najib Razak dipersalahkan, sekali gus Datuk sendiri terlepas dari tuduhan jenayah yang berkaitan dengan perbicaraan 1MDB-Tanore?.

Shahrol: Tidak.

Muhammad Shafee: Pernahkan anda disamam atau dituduh dalam mana-mana dakwaan?

Shahrol: Tidak.

Muhammad Shafee berkata demikian, selepas merujuk kes pendakwaan terhadap bekas pegawai bank BSI Singapura, Yeo Jiawei yang mana dijatuhi hukuman penjara pada 2017 atas kesalahan pengubahan wang haram dan penipuan melibatkan dana berkaitan 1MDB.

Mengambil hubung kait kes berkenaan, Muhammad Shafee mencadangkan kepada Shahrol bahawa beliau (Shahrol) sepatutnya dituduh dan bukan hanya Najib.

Peguam utama yang mewakili Najib itu juga mencadangkan bahawa Shahrol sama seperti bekas pengurus Bank BSI Singapura, Kevin Swampillai agar tidak dikenakan tindakan.

Shahrol menjawab tidak bersetuju dengan cadangan yang diajukan oleh Muhammad Shafee.

Prosiding 1MDB disambung 15 Julai depan.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf